GUA MUSANG : Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang antara lain memperlihatkan sokongan pengundi Melayu kembali kepada parti itu, menjadi rangsangan moral penting kepada kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Aysraf Wajdi Dusuki berkata ia seperti dinyatakan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan parti itu dan BN sebagai tunjang utama Kerajaan Perpaduan bagi meraih kembali sokongan Melayu yang selama ini dilihat menjauhkan diri.
“Secara khususnya, UMNO dan BN ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana beliau amat mengikuti (PRK ini) secara dekat dan membantu kami dalam pelbagai aspek.
“Bahkan Perdana Menteri sentiasa menghubungi Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan untuk memastikan kemenangan ini,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK itu di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini malam ini.
Terdahulu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan menang dalam PRK itu dengan majoriti besar 3,352 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi untuk menewaskan pencabarnya calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.
Asyraf Wajdi juga berkata kemenangan di Nenggiri di luar jangkaan yang menyaksikan saluran anak muda berpihak kepada BN termasuk di pusat daerah mengundi yang sebelum ini dikuasai PAS.
“Saya melihat mereka turun berkempen serta memberikan sokongan dan yang paling penting, kita tidak jangka pengundi-pengundi (yang menetap di) luar (DUN) yang selama ini (secara) tradisinya lebih berpihak kepada PAS, tetapi ramai beri sokongan kepada BN,” katanya.
-Berita Harian