KUALA LUMPUR : Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) membuat laporan polis berhubung video tular membabitkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Video yang tular di media sosial itu memaparkan ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjawat Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Ketua Pemuda BERSATU, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kandungan ceramah bekas Perdana Menteri itu berdasarkan kenyataan fakta dan sama sekali tidak menyinggung, memperlekeh atau mempersoal kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Katanya, tuduhan mempersoal kuasa Agong berpunca laporan satu portal media parti kerajaan yang menghasut rakyat memfitnah Muhyiddin.
“Puncanya laman media sosial yang disunting secara salah niat untuk melaga-lagakan PN dengan Raja Melayu.
“Ini satu tindakan tak bertanggungjawab kerana mengambil sekerat, memotong dan lagakan serta sebarkan kepada rakyat, sedangkan PN dan BERSATU pertahankan agama, bangsa dan negara.
“Mana mungkin kami meruntuhkan institusi raja, bila kami paling lantang pertahankan hak Melayu dan Islam. Ketika UMNO dalam Parlimen diam, kami bangkit pertahankan. Dangkal tuduhan pihak ini,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional, Akmal Zahin Zainal Zahir.
Semalam, BH melaporkan Muhyiddin mempertahan ucapan beliau ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini, sebagai fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja atau kecenderungan menghasut.
Muhyiddin percaya kenyataannya itu tidak melanggar undang-undang negara dan tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut
Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikai peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
-Berita Harian