KUALA LUMPUR : Pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan apabila membebaskan pasangan terbabit, selepas Mahkamah Sesyen memberi penilaian maksimum terhadap keterangan ketika kes pendakwaan.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi juga terkhilaf apabila tidak merujuk alasan penghakiman penuh dan rekod prosiding Mahkamah Sesyen mengenai keterangan diberikan saksi ke-24 dan ke-25 pendakwaan (SP24 serta SP25), iaitu ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, serta perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar.
“Hakim (Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid) terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan bahawa tiada ketidakadilan berlaku terhadap responden (Bung Moktar dan Zizie Izette) atas keputusan prima facie oleh Hakim Mahkamah Sesyen (Rozina Ayob).
“Ia memandangkan keputusan prima facie bukan keputusan muktamad bagi kesalahan yang dipertuduhkan terhadap responden.
“Hakim (Azhar) terkhilaf apabila bertindak untuk menilai kembali keterangan SP24 dan SP25 dalam menjalankan bidang kuasa semakan bawah Seksyen 325 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya dalam petisyen rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu.
Pada 7 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 46, daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Sebelum itu pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan berkenaan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan jam 5 petang 12 Jun 2015.
Selain itu, Bung Moktar juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada Norhaili bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.
Seterusnya, Chin How berkata, Azhar terkhilaf apabila bergantung sepenuhnya pada keputusan lisan prima facie oleh Rozina di akhir kes pendakwaan tanpa menilai alasan bertulis penuh.
Ia walaupun undang-undang tidak memperuntukkan secara wajib untuk Hakim Mahkamah Sesyen itu memberi alasan mengenai keputusan di akhir kes pendakwaan.
“Hakim (Azhar) terkhilaf apabila membuat keputusan melepas dan membebaskan responden walaupun tidak dinyatakan dalam keputusan lisan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa keputusan prima facie yang dibuat hanya bergantung semata-mata pada keterangan SP24 dan SP25.
“Azhar terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan kebolehterimaan keterangan separa atau ‘partial hostile evidence’ oleh SP24 dan SP25,” katanya.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
-Berita Harian