• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Tuesday, July 8, 2025
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

TMJ Dimasyhur Pemangku Sultan Johor

oleh Mohd Arshad
28/01/2024
dalam Terkini, Utama & Sensasi
0
TMJ Dimasyhur Pemangku Sultan Johor
Share on FacebookShare on Twitter

JOHOR BAHRU : Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor mulai hari ini.

IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..

Pelantikan itu diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja Johor dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata pelantikan itu berterusan selama Sultan Ibrahim menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

“Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takhluk Johor Darul Takzim dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor bermula hari ini.

“Pelantikan ini hendaklah berterusan untuk selama Sultan Johor menjalankan kerja-kerja Yang Di-Pertuan Agong. Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkenaan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Istiadat pelantikan berlangsung pada jam 10 pagi di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, di sini, di hadapan Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim akan bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur mulai 31 Januari ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.

Tunku Ismail, 39, yang diputerakan pada 30 Jun 1984 adalah putera sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah daripada enam paduka anakanda.

Sebelum pelantikan itu, TMJ yang meminati sukan polo dan bola sepak telah beberapa kali diamanahkan menjadi Pemangku Raja dengan kali terakhir pada 16 Jun 2022 ketika Sultan Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas serta mentadbir Johor.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sejak 16 Februari 2012, mendirikan rumah tangga dengan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor pada 24 Oktober 2014.

Pasangan diraja itu dikurniakan dua putera dan dua puteri, iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.

Terdahulu pada 27 Oktober lalu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) di Istana Negara sebulat suara mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun seperti diamalkan selama ini.

Tanggal 30 Januari 2024 dipilih sebagai detik penting pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Agong bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Menyusuri sejarah takhta Sultan Ibrahim, baginda dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 31 Julai 1981 di Istana Besar, Johor Bahru. Pelantikan berkenaan dimasyhurkan oleh Almarhum Sultan Iskandar.

Pada 22 Januari 2010, Sultan Ibrahim dilantik sebagai sebagai Pemangku Raja kerana ayahanda baginda gering sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan ayahanda baginda pada 22 Januari 2010 di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

Enam Menteri Besar berkhidmat di bawah pemerintahan baginda, iaitu Tan Sri Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Osman Sapian, Datuk Dr Shahruddin Jamal, Datuk Seri Hasni Mohamed dan Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sultan Ibrahim seorang yang berwawasan dan memiliki kebijaksanaan dalam mentadbir Johor. DNA ‘Bapa Pemodenan Johor’ Almarhum Maharaja Abu Bakar turut mengalir dalam diri baginda untuk memacu Johor sehingga menjadi negeri maju dan moden di selatan tanah air.

Johor antara negeri penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor pertanian, iaitu 17.5 peratus atau RM101.3 bilion, sekali gus berpotensi menjadi ‘bank makanan’ negara bagi menangani isu keterjaminan makanan.

Pembangunan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Johor mampu melonjakkan pembangunan wilayah, sekali gus menjadi pemacu penting dalam pembangunan sosioekonomi di Johor.

Inisiatif Segitiga Singapura, Johor dan Indonesia (SIJORI) membabitkan tiga kawasan geografi (Johor, Singapura dan Riau) sedang diperkasa semula bagi menjana pertumbuhan ekonomi lebih progresif di wilayah selatan tanah air.

Terbaharu, Zon Khas Kewangan Forest City akan dibangunkan di tapak berkeluasan 2,832.79 hektar di atas empat pulau buatan di Forest City, dijangka melonjak dan memacu pertumbuhan ekonomi Johor serta negara.

Model kewangan khas ini membabitkan Malaysia dan Singapura berpotensi menjadi seperti Zon Kewangan Khas Shenzhen di China. Hubungan baik baginda dengan Singapura akan melancarkan pelaksanaan dan pembangunan Zon Khas Kewangan ini.

Menerusi slogan ‘Muafakat Itu Berkat’, baginda memastikan kehidupan rakyat berbilang bangsa mampu hidup bersatu, aman dan sejahtera. Baginda sentiasa menekankan perpaduan Bangsa Johor dan kestabilan politik supaya dapat meningkatkan pembangunan ekonomi serta psikososial rakyatnya.

Justeru, konsep kejuruteraan sosial ‘Muafakat Bangsa Johor’ yang diperkenalkan baginda mampu dimartabatkan pada peringkat nasional sebagai ‘Muafakat Bangsa Malaysia’. Malah konsep ‘kejuruteraan sosial’ ini selari hasrat Kerajaan Perpaduan menerusi ‘Membangun Malaysia MADANI’.

Keprihatinan terhadap perpaduan dan kesatuan negara terserlah apabila baginda bertitah dan menegur segelintir pemimpin politik cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan menimbulkan kesangsian serta kekalutan terhadap kerajaan memerintah ketika ini.

Baginda turut menyarankan beberapa langkah drastik dan tegas diambil kerajaan bagi mengekang sentimen mainan persepsi 3R (agama, Raja dan kaum). Baginda mengingatkan semua pihak tidak menimbulkan kekacauan dengan membangkitkan perkara sensitif boleh mengeruhkan perpaduan serta keharmonian rakyat.

Selain perpaduan, baginda memberi tumpuan terhadap kepentingan mengangkat elemen budaya dan kesenian. Penubuhan Yayasan Warisan Johor (YWJ) misalnya bertujuan membangun dan memperkasa jati diri Bangsa Johor yang terkenal dengan pelbagai cabang seni unik seperti tulisan Jawi (khat), ghazal, kuda kepang, barongan, zapin, seni bina, warisan makanan tradisional dan busana Teluk Belanga.

Selain itu, di bawah kepemimpinan baginda, Johor sentiasa memberi perhatian kepada pendidikan tinggi yang mana baginda adalah Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pertama. Wawasan dan komitmen tinggi Sultan Ibrahim memberi inspirasi terhadap pendidikan negara masa hadapan bagi melahirkan modal insan kritis, kreatif dan inovatif.

Baginda sering mengadakan kunjungan hormat ke beberapa negara ASEAN seperti Singapura, Brunei, Kemboja, Thailand dan Indonesia. Bahkan, baginda turut menerima kunjungan hormat duta dan pembesar negara luar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Ini menunjukkan baginda mementingkan hubungan diplomatik yang boleh memberi impak positif kepada negara.

Hubungan baik baginda dengan pemimpin utama Singapura umpamanya, banyak menyelesaikan masalah berbangkit yang wujud seperti isu imigresen, kastam dan masalah pekerja Malaysia di Singapura.

Pemasyhuran baginda sebagai Agong nanti dilihat bakal membawa makna amat besar kepada harapan dan masa depan rakyat serta negara.

Banyak pihak mengharapkan Malaysia dapat dipacu menjadi negara berprestasi tinggi, berintegriti tinggi dan disokong kukuh nilai kemanusiaan.

-Berita Harian

Tags: Pemangku Sultan JohorTMJ
Share196Tweet123SendShare
Previous Post

Kapal Persiaran Terbesar Di Dunia, Icon Of The Seas Mula Berlayar

Next Post

Dituduh Tak Isytihar Harta, Daim Bayar Ikat Jamin RM280,000

Related Posts

Ada JDT Kata Nak Tarik Diri – TMJ

Ada JDT Kata Nak Tarik Diri – TMJ

05/05/2025
0

PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mendedahkan bahawa perbelanjaan kelab Harimau Selatan adalah antara yang paling rendah...

Legenda Liverpool Hargai Peluang Diberikan TMJ

Legenda Liverpool Hargai Peluang Diberikan TMJ

02/04/2025
1

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta'zim (JDT), Luis Garcia berterima kasih kepada Pemilik Harimau Selatan, Tunku Mahkota Ismail yang...

Next Post
Dituduh Tak Isytihar Harta, Daim Bayar Ikat Jamin RM280,000

Dituduh Tak Isytihar Harta, Daim Bayar Ikat Jamin RM280,000

Please login to join discussion
MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd