ISKANDAR PUTERI : Kerajaan negeri menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyumbangkan 8,000 kit ujian pengesanan awal kanser serviks bagi menggalakkan golongan wanita menjalankan ujian saringan mengesan penyakit itu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon, berkata LPPKN akan bergerak ke seluruh negeri ini untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita dalam menjalankan ujian saringan kanser serviks.
Beliau berkata, ini bagi membolehkan penyakit kanser itu dikesan lebih awal, sekali gus pesakit mempunyai peluang tinggi untuk dirawat, selain dapat menjimatkan kos rawatan.
“Akhir bulan ini, usaha ini akan dimulakan dengan pelancarannya, sebelum kita anjurkan Klinik Bergerak Bangsa Johor yang akan ke setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi peluang kepada mereka khususnya yang berada di luar bandar menjalani saringan kesihatan ini serta mendapatkan khidmat kaunseling.
“Golongan wanita tahu wujudnya kanser serviks ini, tetapi kita percaya ada antara mereka yang tidak ada kesedaran, malah ada yang malu untuk jalankan ujian. Jadi, sebagai satu program permulaan, kita beri percuma kepada golongan sasar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Hospital Gleneagles Johor dan Yayasan Rose bagi Kempen Kesedaran Kanser Serviks di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor, Dr Kamal Amzan dan Pengerusi Yayasan Rose, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
Menerusi MoU itu, Hospital Gleneagles Johor akan menyumbang sebanyak 1,500 kit ujian kepada Yayasan Rose bagi membolehkan yayasan berkenaan bergerak ke seluruh negeri ini dalam membantu golongan wanita, khususnya dari keluarga B40 untuk menjalankan saringan awal mengesan kanser serviks.
Tian Soon berkata, Yayasan Rose turut akan membantu bergerak bersama pasukan perubatan dalam memberi pengetahuan dan kesedaran kepada golongan sasaran mengenai kanser serviks.
Pada masa sama, beliau berkata, jumlah kes kanser (pelbagai) yang dirawat di hospital awam di negeri ini menyaksikan trend peningkatan yang membimbangkan bagi tempoh 2018 hingga 2022.
Katanya, pada 2018, 23,161 kes kanser dirawat di klinik onkologi di lima hospital awam utama di negeri ini dan ia meningkat kepada 42,361 kes pada 2022.
-Berita Harian