KOTA BHARU: Naib Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Hisyamuddin Ghazali menafikan dakwaan kononnya beliau individu dikenali ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan kes video tular membabitkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Penafian itu dibuat Mohd Hisyamuddin yang juga Ketua Biro Basmi Kemusnahan Hutan (SAVE) Kelantan, melalui satu video di media sosial susulan kepada dakwaan itu yang dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin.
Beliau berkata, ‘Mr H’ sepertimana dijelaskan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang turut terbabit dalam video tular bersama Mohammad Agus itu adalah orang yang berpangkat tinggi dalam JKOM, sedangkan dirinya bukan individu berpangkat tinggi dalam jabatan itu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Ini kerana saya juga hadir pada sidang media Mohammad Agus dan Abdul Wahab baru-baru ini.
“Saya hadir pada sidang media itu kerana hendak tahu perkara sebenar yang terjadi,” katanya.
Mohd Hisyamuddin atau lebih dikenali Syam Ghaz berkata, tuduhan dilemparkan terhadapnya itu tidak berasas.
Sebelum ini tular video perbualan jelik antara Mohammad Agus dengan Abdul Wahab menerusi media sosial, sebelum kedua-duanya mengadakan sidang media pada 17 November lalu.
Melalui sidang media itu, mereka mendakwa rakaman itu bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohammad Agus dengan didalangi individu dikenali Mr H.
Abdul Wahab yang juga Penolong Pegawai J-KOM mendedahkan identiti individu disebut ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan kes video tular itu dalam laporan polis pada 30 November lalu.
BHonline-