MELAKA : Polis Melaka berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas pelbagai jenis barang terlarang itu, dianggarkan bernilai RM6.6 juta yang disifatkan sebagai tangkapan terbesar tahun ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejayaan itu adalah hasil tangkapan ke atas tiga lelaki berusia antara 27 hingga 51 tahun pada 18 November lalu.
Menurutnya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Peronda Lebuh Raya (EMPV) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berjaya memintas sebuah kenderaan jenis Volkswagen Passat di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, pihaknya berjaya menahan seorang suspek berumur 27 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut, polis menemukan dadah jenis syabu seberat 10,392.20 gram (g) yang dianggarkan bernilai RM342,943 ditemukan di bahagian tempat duduk belakang dan bonet.
“Hasil soal siasat ke atas suspek tersebut, kira-kira pukul 8.30 malam polis berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 46 dan 51 tahun di sebuah kediaman di Jinjang, Kuala Lumpur.
“Kita berjaya merampas pil ekstasi seberat 67,000 g, syabu seberat 62,000 g dan pil erimin 5 sebanyak 103,700 biji yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM6.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.
Tambah Zainol, hasil saringan air kencing mendapati, suspek berusia 46 dan 51 tahun positif dadah jenis methamphethamine dan memiliki rekod jenayah.
Menurutnya, polis percaya sindiket berkenaan bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak awal 2022.
Katanya, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara yang boleh digunakan seramai 508,994 penagih.
“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Volkswagen, wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan keseluruhan nilainya berjumlah RM177,000 dan nilai rampasan dadah serta harta yang disita dianggarkan bernilai RM7.1 juta.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 November ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-Utusan Online