KULIM: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) guru, Mohd Hafiz Jasmi, 38, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dalam hutan di Pusat Rekreasi Sedim, di sini, memasuki hari ketiga, hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali, berkata operasi itu disambung semula jam 8 pagi tadi.
Beliau berkata, kawasan pencarian diperluas dengan dibahagikan kepada empat zon, hari ini, berbanding tiga zon semalam.
“Zon 1 adalah dari puncak Gunung Bintang sejauh enam kilometer (km), manakala Zon 2 dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) ke kawasan bahagian bawah (2km) dan Zon 3 dari PKB melalui laluan trek pendakian (2km).
“Pencarian di Zon 4 pula membabitkan kawasan sungai di pusat rekreasi itu tetapi setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemui,” katanya.
Rahimi berkata, keadaan cuaca di lokasi pencarian adalah cerah, dan kerja-kerja SAR dilakukan dengan bantuan penduduk setempat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta renjer hutan.
Media sebelum ini melaporkan seorang guru lelaki dipercayai hilang dalam hutan di Pusat Rekreasi Sedim, kelmarin.
Pihak JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada jam 4.25 petang kelmarin sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Pasukan Must Team, Unit Anjing Pengesan (K9) serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi.
BHonline-