KATHMANDU : Sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023) memenuhi permintaan ahli keluarga pendaki ME2023 yang orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim untuk mengadakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerusi pencarian udara esok sebelum ia ditamatkan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak, berkata operasi SAR itu adalah inisiatif terakhir diadakan pihaknya yang akan disertai tiga malim gunung dan seorang jurugambar.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Nepal untuk mengadakan operasi SAR itu yang akan tertumpu di kawasan Kem Dua dan Kem Tiga.
Katanya, operasi SAR berkenaan akan diketuai pihaknya yang turut dipantau wakil Malaysia di Nepal.
“Anggota operasi SAR ini dijangka berlepas ke Lukla petang ini dan sekiranya cuaca baik akan memulakan operasi awal pagi esok,” katanya.
Dua ahli keluarga Muhammad Hawari ketika ini berada di Nepal iaitu adik bongsunya, Mohamad Ismail, 28, dan adik iparnya, Azhar Ilias, 35.
Mereka tiba di Nepal, Khamis lalu untuk mengikut perkembangan operasi SAR Muhammad Hawari.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang di pergunungan Everest pada 19 Mei lalu.
Azim berkata, pihaknya juga sudah memberi penerangan mengenai perjalanan misi menawan Everest Muhammad Hawari sehingga pendaki itu dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.
Katanya, kelmarin pihaknya juga sudah menyerahkan barangan kelengkapan dan pakaian Muhammad Hawari kepada ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke tanah air.
-Berita Harian


