KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini mengarahkan kesemua 222 Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Beliau berkata, arahan itu adalah wajib manakala tarikh akhir pemeriksaan kesihatan pada 31 Oktober ini.
Beliau berharap semua Ahli Parlimen tidak bersikap ambil mudah arahan tersebut walaupun sibuk dengan jadual masing-masing.
Katanya, beliau secara peribadi telah melihat seramai 11 Ahli Parlimen ‘tumbang’ sepanjang tempoh tersebut sepanjang 15 tahun bergelar Ahli Parlimen.
“Saya mahu buat satu pemakluman. Ahli Yang Berhormat, saya amat prihatin dan mengambil berat terhadap tahap kesihatan yang melibatkan Ahli Yang Berhormat di dalam dan di luar Dewan Rakyat, malah terdapat kes yang telah menyebabkan kematian.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) supaya pemeriksaan kesihatan secara tetap perlu dibuat ke atas semua ahli-ahli Dewan Rakyat, bagi memastikan pemantauan kesihatan yang berterusan dibuat demi memastikan tahap kesihatan yang baik.
“Saya menegaskan agar semua ahli Parlimen ambil serius dan hadir ke klinik kesihatan di Parlimen dan fasiliti swasta untuk menjalani pemeriksaan seperti diperinci dalam surat yang dihantar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat khas perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Pada bulan lalu, Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa menyarankan Jemaah Menteri dan semua Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.
UtusanOnline-