PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy kekal lepas dan bebas daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketua Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas mendapati, pihak pendakwaan gagal mengikut masa yang ditetapkan untuk memfailkan notis rayuan dan dianggap luput serta terbatal.
Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan ialah dalam tempoh 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh, iaitu pada 6 Julai lalu.
Terdahulu ketika membaca keputusan, Hadhariah berkata, berdasarkan kronologi, mahkamah sebelum ini menetapkan tiga pengurusan kes iaitu pada 21 Julai, 28 dan 30 Ogos lalu.
Pada masa sama, perayu (pendakwaan) telah diberi arahan untuk memfailkan petisyen rayuan namun mereka gagal untuk mematuhi arahan mahkamah.
Katanya, sebarang permohonan untuk lanjutan masa, perlu dibuat sebelum tamat tempoh pemfailkan petisyen.
“Mengikut undang-undang (Seksyen 53(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964), apabila suatu petisyen rayuan gagal difailkan dalam tempoh yang ditetapkan dan tiada pemohonan lanjutan masa dibuat, maka rayuan itu dianggap luput dan terbatal. Oleh kerana kes ini dibawa ke panel, kami dengan ini membuat perintah bahawa kedua-dua notis rayuan dibatalkan,” katanya.
Arul Kanda berjabat tangan selepas tamat prosiding sebutan kes rayuan pihak di Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!
Dalam prosiding hari ini, dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.
Semasa prosiding, Najib diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara peguam, Datuk N.Sivananthan bertindak bagi pihak Arul Kanda yang mana kedua-duanya selaku responden.
Sementara pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim.
Mengikut pertuduhan, Najib, 70, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari, 2016.
Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.
Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Najib Tun Razak dan Arul Kanda atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB, tujuh tahun lalu
Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Kosmo-