Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Microsoft Malaysia serta pelancaran Talent in Tech Accelerator Nationwide Program telah diadakan pada 7 September 2023 (Khamis) bertempat di Microsoft Malaysia, Kuala Lumpur.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
MoU tersebut telah dimeterai oleh YBrs. Prof. Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, manakala Microsoft pula diwakili K Raman, Pengarah Urusan dengan disaksikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Kerjasama memorandum ini secara asasnya meliputi penganjuran Microsoft Talent in Tech Accelerator Bootcamps, meneroka peluang pekerjaan dengan pemain industri, membantu pemasaran penganjuran bootcamp menerusi promosi yang dilaksanakan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta meneroka sebarang peluang kerjasama yang akan ditentukan oleh kedua-dua belah pihak pada masa hadapan.
Menerusi pemeteraian memorandum tersebut, Microsoft akan bekerjasama dengan KPT bagi melahirkan graduan berkualiti yang boleh memasuki pasaran kerja dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara.
Kolaborasi ini dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan turut membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada graduan.
Kerjasama ini adalah selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pendidikan Tinggi (2021 – 2025) yang menyokong kepada Teras Strategik ke-4 iaitu memperkukuhkan kecekapan digital di Malaysia melalui latihan dan meningkatkan kemahiran digital di kalangan pelajar pendidikan tinggi yang berupaya mewujudkan budaya digital-centric.
Di bawah MoU ini, turut dilancarkan Talent in Tech Accelerator Nationwide Program, di mana seramai 1,000 pelajar tahun akhir IPTA akan menjalani latihan intensif dan praktikal dalam bidang teknologi maklumat secara dalam talian.
Talent in Tech Accelerator Nationwide Program akan dilaksanakan dengan pengisian pelbagai pilihan modul yang menepati kehendak industri seperti Microsoft Azure Fundamentals, Microsoft Azure Data Fundamentals, Microsoft Azure AI Fundamentals, Microsoft Power Platform Fundamentals & Microsoft Security, Compliance and Identity Fundamentals).
Program ini akan diselaraskan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang telah dilantik sebagai hos universiti bagi memastikan program ini mencapai objektif yang disasarkan oleh pihak KPT.
Melalui pelaksanaan program ini, pelajar juga akan menerima manfaat seperti Microsoft Fundamental Certification serta latihan sebagai persediaan mendapatkan pekerjaan dari segi penyediaan resume, teknik menghadiri temuduga dan pendedahan membangunkan profil peribadi di aplikasi LinkedIn.
Dalam pada itu, pelajar juga mendapat peluang didaftarkan di dalam database Adecco bagi penyesuaian pekerjaan yang dapat membantu pelajar mendapatkan berbagai peluang pekerjaan.
Pelajar yang berjaya menerima pensijilan ini juga boleh meneroka peluang pekerjaan dengan rakan industri termasuk Air Liquide, Alliance Bank, AmBank Group, Avanade, CIMB Bank, Enfrasys, Experian, Habib Group, Malaysia Aviation Group, Nexperia, OCBC Bank, SCHOTT, Shell dan UOB Bank.
Para peserta program ini juga akan menjadi sebahagian daripada Komuniti MEET @ LinkedIn.
Program yang telah dilancarkan ini akan dilaksanakan secara rintis mulai 11 hingga 22 September 2023 dengan melibatkan penyertaan pelajar tahun akhir daripada IPTA.
KPT berharap melalui kerjasama ini mampu memberi nilai tambah kepada para graduan dan meningkatkan kualiti graduan yang memenuhi keperluan industri.
-Mynewshub


