KOTA KINABALU : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan agar pelepasan cukai diberikan kepada ibu bapa atau individu yang berbelanja untuk latihan sukan.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Itu antara fokus KBS dalam Belanjawan 2024 yang kini masih dalam peringkat perbincangan bersama dengan Kementerian Kewangan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, mereka sudah mengemukakan hasrat tersebut kepada Kementerian Kewangan, tapi, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan diberi kelulusan atau tidak.
Namun, itulah hasrat kementerian dalam usaha membangunkan industri sukan secara bersama kerana langkah itu akan memberi manfaat kepada jurulatih, ibu bapa dan juga kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti sukan.
“Sekarang, pelepasan cukai hanya diberi kepada individu yang membeli peralatan sukan sahaja, jadi, dalam Belanjawan 2024, kita mahu yuran latihan sukan dimasukkan dalam senarai pelepasan cukai bagi gaya hidup.
“Jadi, kita nak apabila mereka berbelanja untuk latihan sukan, contohnya, setiap bulan, ibu bapa berbelanja untuk latihan badminton atau kelas renang anak, maka, kita harap yuran yang dibelanjakan setiap bulan itu boleh diberi pelepasan cukai.
“Pelepasan cukai ini akan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat supaya kanak-kanak didorong pada usia awal untuk menjalani latihan sukan. Selain itu, kita dapat membantu atlet mempunyai peluang pekerjaan jika ramai ingin menggunakan khidmat latihan sukan.
“Industri sukan akan membangun jika Kementerian Kewangan beri kelulusan kepada hasrat KBS dalam belanjawan tahun depan,” katanya selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan Sabah (EISS), di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Hannah turut menyampaikan geran padanan sukan dengan jumlah keseluruhan RM774,000 kepada 21 persatuan sukan Sabah.
Bagi dana komuniti yang berjumlah RM1 juta yang diperuntukkan kepada Jabatan Belia dan Sukan Sabah, sejumlah RM200,000 peruntukan diluluskan kepada 200 pemohon.
Mengenai ekspo tersebut, beliau berkata, ekspo itu disertai oleh seramai 30 pemain industri daripada pelbagai segmen termasuk pelancongan sukan, perubatan sukan dan pendidikan sukan. Daripada ekspo ini, dianggarkan pulangan ekonomi yang akan diperoleh adalah sebanyak RM1 juta.
Jelas beliau, industri sukan menyumbang RM14 bilion iaitu 0.9 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan nilai ini akan terus bertambah bergantung kepada peningkatan kegiatan sukan dan penyertaan semua masyarakat.
-Utusan Online