KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera parah ditikam teman lelakinya yang berang selepas mangsa tidak mahu meneruskan hubungan mereka dalam kejadian di Ampang, di sini, awal pagi kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kejadian dilaporkan kira-kira jam 2.52 pagi di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata siasatan mendapati mangsa berada dalam kenderaannya sebelum didatangi suspek.
“Suspek dalam keadaan berang bertindak memancitkan tayar kereta mangsa serta bertindak agresif memecahkan cermin hadapan kereta berkenaan.
“Mangsa yang ketakutan, cuba melarikan diri tetapi suspek terus mengejar dan menikamnya dengan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Azam, mangsa yang cedera di bahagian tengah dan kiri perut selain luka lengan kiri dikejarkan ke Hospital Ampang dengan ambulans untuk rawatan.
“Siasatan mendapati punca suspek menyerang wanita berkenaan adalah kerana tidak berpuas hati apabila mangsa ingin memutuskan hubungan dengannya.
“Mangsa dan suspek baru sahaja berkenalan selama tiga bulan melalui aplikasi OMI (aplikasi jaringan sosial mencari kenalan dan pasangan),” katanya.
Mohd Azam berkata, identiti suspek sudah dikenal pasti dan sedang mengesan untuk menahannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.
BHonline-


