Rapid Rail bekerjasama dengan polis untuk memburu seorang lelaki yang disyaki mengalami masalah mental yang telah bertindak agresif menceroboh trek transit aliran ringan (LRT) dan cuba mencabul salah seorang penumpang wanita di Stesen LRT Maluri, semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.58 pagi semalam itu melibatkan seorang lelaki telah bertindak melulu menceroboh trek LRT menerusi platform 1 ke platform 2.
Menurut Rapid Rail dalam satu kenyataan, suspek telah cuba mencabul salah seorang wanita yang sedang menunggu tren di platform tersebut.
“Ketika kejadian, anggota polis bantuan yang sedang bertugas di platform bertentangan bergegas turun ke bawah untuk ke platform tempat kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang sedang bergelut dengan suspek.
“Orang awam yang melihat kejadian telah berjaya membantu meleraikan mangsa dari suspek, tetapi tidak berjaya diberkas kerana tindakan beliau yang sangat agresif.
“Suspek sekali lagi bertindak menceroboh landasan dan mengetuk dinding tren yang kebetulan sedang berhenti di stesen. Suspek telah meloloskan diri dari stesen tersebut pada jam 8.05 pagi,” kata kenyataan itu.
Mangsa dan saksi dikatakan telah dibawa oleh anggota polis ke balai polis bagi tindakan selanjutnya.
Rapid Rail menambah bahawa pasukan Polis Bantuan Prasarana berkerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menyiasat dan mengesan sehingga tertangkapnya suspek.
“Rapid Rail kesal dengan kejadian yang berlaku dan tindakan segera telah diambil dengan menambah anggota polis bantuan di stesen-stesen untuk meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang,” katanya.
-Malaysia Kini