LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 kini bukan lagi dikategorikan sebagai darurat kesihatan global.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, beliau bersetuju menerima saranan untuk menamatkan status Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) yang dinyatakan semasa mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan yang ke-15 di London.
“Semalam, Jawatankuasa Kecemasan bermesyuarat buat kali ke-15 dan mengesyorkan kepada saya supaya saya mengisytiharkan penamatan kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa.
“Saya menerima nasihat itu. Oleh itu dengan penuh harapan saya mengisytiharkan Covid-19 bukan lagi kecemasan kesihatan global,” katanya.
Wabak berkenaan sudah membunuh lebih 6.9 juta orang, mengganggu ekonomi global dan memusnahkan komuniti.
Namun pandemik itu menunjukkan trend penurunan sejak setahun lalu daripada tempoh puncak lebih 100,000 orang seminggu pada Januari 2021 kepada hanya sekitar 3,500 kes dalam seminggu hingga 24 April lalu.
“Trend ini membolehkan banyak negara kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum Covid-19 melanda.
“Namun, ia tidak bermakna Covid-19 bukan satu ancaman kesihatan global,” katanya lagi.
WHO sebelum ini mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat kecemasan awam pada Januari 2020, kira-kira enam minggu selepas virus tersebut melanda.
Status itu membolehkan masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada ancaman kesihatan itu, di samping mempertingkatkan kerjasama bagi menghasilkan vaksin dan rawatan.
UtusanOnline-