KHARTOUM: Pertempuran dahsyat tetap berlaku di Sudan hari ini walaupun kedua-dua pihak tentera yang berperang bersetuju melanjutkan tempoh gencatan senjata yang bertujuan untuk meredakan peperangan yang telah membunuh ratusan nyawa sejak dua minggu lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kementerian Pertahanan Turkiye berkata, banyak negara asing berusaha untuk memindahkan secara besar-besaran rakyat mereka masing-masing di Khartoum.
Saksi melaporkan berlaku kejadian rompakan besar-besaran dan ada yang bersenjata melepaskan roket dalam pertempuran di kawasan Darfur.
Terdapat pelbagai usaha gencatan senjata sejak pertempuran tercetus pada 15 April lalu antara tentera Sudan yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) namun gagal.
Semalam, kedua-dua pihak terbabit bersetuju melanjutkan gencatan senjata, namun berulang kali dilanggar selama tiga hari.
Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Kesatuan Afrika, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lain mengalu-alukan kesediaannya untuk terbabit dalam dialog dalam usaha untuk menamatkan permusuhan berkenaan.
Prebutan kuasa antara pasukan tentera Sudan dan RSF telah membawa kepada keganasan, di mana jet pejuang tentera Sudan menyerang kawasan RSF dengan melakukan serangan udara di Khartoum.
Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, sekurang-kurangnya seramai 512 orang terbunuh dan 4,193 orang pula tercedera dalam pertempuran berkenaan, bagaimanapun angka jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi.
Pertempuran juga telah merebak ke seluruh Sudan, terutamanya di kawasan Darfur dan saksi mendakwa konflik antara kedua-dua pihak tentera berkenaan semakin sengit.
Persatuan Peguam Darfur, berkata pihak tentera melancarkan roket ke kawasan perumahan di El Geneina di kawasan barat Darfur.
Pertempuran telah merebak hampir ke seluruh bandar dan tentera telah menceroboh ke kem bagi menempatkan pelarian dan hospital universiti serta bertindak membakar pasar, bangunan awam, gudang bantuan dan bank.
BHonline-