KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak bercadang melakukan pembenihan awan buat masa ini, meskipun cuaca panas direkodkan di banyak kawasan terutama di utara semenanjung sejak akhir-akhir ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera MetMalaysia, Ambun Dindang, berkata setakat ini tiada keperluan untuk melakukan aktiviti pembenihan awan di seluruh negara memandangkan keadaan cuaca panas dan jerebu belum pada tahap bahaya.
Beliau berkata, aktiviti pembenihan awan lazimnya bertujuan meningkatkan paras air empangan, selain untuk mengurangkan kesan jerebu.
“Jerebu berpotensi berlaku jika banyak kawasan merekodkan titik panas.
“Sehingga kini, kawasan merekodkan titik panas di negara kita dan negara jiran hanya sedikit dan ia tidak menyumbang kepada jerebu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual bertemakan ‘Cuaca Panas di Malaysia’ yang disiarkan sebuah televisyen tempatan, hari ini.
Dalam pada itu, Ambun memaklumkan Pulau Pinang sudah membuat permohonan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan bagi mengisi secepat mungkin empangan di negeri berkenaan yang dilaporkan semakin susut.
“Kami sudah mempertimbangkan perkara ini bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kini dalam proses untuk menyediakan operasi pembenihan awan bagi meningkatkan paras empangan di negeri itu.
“Selain Pulau Pinang belum ada permohonan dari negeri lain untuk melakukan operasi pembenihan awan,” katanya
Mengulas lanjut, Ambun berkata kita menjangkakan hujan akan berlaku dalam beberapa hari mendatang.
“Ini membantu memulihkan kualiti udara seterusnya dapat mengurangkan suhu tinggi terutama di utara semenanjung yang banyak merekodkan cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga.
“Seperti diketahui umum, negara sedang mengalami Fasa Peralihan Monsun dan kebiasaannya di awal peralihan ini cuaca agak panas terutama di utara Malaysia.
“Namun, dijangka negara menerima banyak hujan di hari mendatang sehingga awal Mei nanti ,” katanya.
Semalam, MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook mengeluarkan amaran cuaca panas tahap berjaga-jaga di beberapa kawasan di utara membabitkan Kedah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap dan Pendang.
Di Kelantan, cuaca sama dikeluarkan bagi Tanah Merah dan Pasir Mas serta Besut di Terengganu, manakala di Sabah membabitkan kawasan Nabawan.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.
-Berita Harian