KUALA LUMPUR : Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengemukakan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai yang diluluskan kepada sebuah yayasan kebajikan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Writ saman itu difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini hari ini melalui Tetuan Guok Partnership dengan menamakan bekas Perdana Menteri itu sebagai defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutannya, Guan Eng, 62, berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu dan dibebaskan pada sebelah petang.
Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa, Muhyiddin kemudian mengeluarkan kenyataan memfitnah dalam laman Facebook miliknya pada hari yang sama serta dua hari berikutannya iaitu pada 11 dan 12 Mac dan seterusnya diterbitkan dalam beberapa akhbar dan portal berita.
Dakwa Guan Eng selaku plaintif, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau selaku Menteri Kewangan (ketika itu) telah membatalkan pengecualian cukai yang diluluskan kepada yayasan berkenaan.
Pemimpin DAP itu menyatakan, kenyataan fitnah berkenaan sengaja dibuat bertujuan mencari publisiti murahan dan cuba mengalih perhatian awam kerana Muhyiddin mengetahui bahawa semua perhatian media dan akhbar ketika itu tertumpu kepadanya.
Guan Eng turut mendakwa, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan, walhal ia tidak patut dikenakan cukai.
Dakwa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, kenyataan Muhyiddin membawa maksud beliau sengaja mensabotaj yayasan kebajikan itu yang terlibat dalam pelbagai kerja amal.
Plaintif turut memohon Muhyiddin memohon maaf dan menarik balik kesemua tiga kenyataan fitnah itu manakala pernyataan maaf diterbitkan dalam akaun Facebook dan Twitter defendan.
Pernyataan maaf itu perlu disiarkan dalam semua suratkhabar di negara ini, Free Malaysia Today (FMT) dan Malaysiakini dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman.
Plaintif turut memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan punitif serta injunksi menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah.
-Utusan Online