Setiausaha Agung BN Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Zambry yang juga Menteri Luar memaklumkan perkara itu kepada Malaysiakini sebentar tadi.
“Setelah berbincang dengan kepimpinan parti, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi calon naib presiden Umno bagi pemilihan kali ini.
“Dengan mengambil kira tugas rasmi saya sebagai Menteri Luar Negeri di dalam kerajaan baru ini, banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa.
“Pada masa yang sama, sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional, saya mahu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan Barisan Nasional dan juga antara parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Bagaimanapun, Zambry berkata akan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Dengan pengumuman itu, jumlah calon bertanding bagi tiga jawatan naib presiden kini menjadi tujuh orang.
Antara yang telah menyerahkan borang pencalonan adalah dua penyandangnya Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid.
Lima pemimpin lain yang bertanding untuk jawatan itu ialah Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail; bekas menteri besar Johor, Hasni Mohammad; bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Reezal Merican Naina Merican; Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani dan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said.
Sementara itu, Zambry mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sahabat- sahabatnya di peringkat bahagian Umno yang telah menyatakan sokongan kepadanya sebelum ini.
Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Feb.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
-Malaysia Kini