KUALA LUMPUR : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTSS) bagi memperkasakan penggunaan teknologi angkasa dalam aplikasi sistem litupan muka bumi penderiaan angkasa Sarawak (LIMPAS), Jumaat lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menurut kenyataan MOSTI, hari ini, MoU dan kerjasama selama lima tahun itu adalah kali ketiga sejak kerjasama di antara kedua pihak dimeterai pada tahun 2009.
Katanya, kesinambungan kerjasama teknikal itu membabitkan penggunaan teknologi ‘remote sensing’ angkasa bagi meningkatkan perkhidmatan dan kecekapan operasi JTSS.
“JTSS akan menjalankan pemetaan litupan tanah di seluruh Sarawak secara berterusan melalui penggunaan Sistem Litupan Mukabumi Penderiaan Angkasa Sarawak (LIMPAS) yang telah dibangunkan dan dikendalikan secara dalam talian sejak tahun 2011.
“Melalui kerjasama strategik itu, penggunaan Sistem LIMPAS mampu meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan proses perancangan sehingga 50 peratus berbanding kaedah biasa.
“Perkara itu juga membabitkan aktiviti perancangan kerja ukur tanah di bawah Program Penyukatan Tanah NCR Sarawak,” katanya.
Katanya, pembangunan dan pengoperasian Sistem LIMPAS itu juga selaras dengan sasaran Teras 2 Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN 2030), yang sedang dilaksanakan oleh MOSTI melalui MYSA iaitu menumpukan kepada pembangunan teknologi, infrastruktur serta aplikasi angkasa yang signifikan kepada negara.
“Usaha berkenaan turut menumpukan kepada keperluan mewujudkan transformasi sosioekonomi yang berteraskan saintifik dan inklusif yang menepati nilai kemampanan, kesejahteraan serta daya cipta dalam kerangka Malaysia Madani.
“Kerjasama strategik di antara kedua pihak juga adalah antara inisiatif yang turut mendukung aspirasi pelaksanaan MA63 negara,” katanya.
Pada majlis yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) Kuching,
itu, Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah dan Pengarah JTSS Datu Abdullah Julaihi menyempurnakan upacara menandatangani dokumen MoU dan turut disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
-Berita Harian