Putrajaya : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan proses pemadanan maklumat baki mangsa yang dipercayai masih hilang dalam tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali – Genting Highlands dengan laporan polis oleh ahli keluarga atau waris mangsa.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah itu bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan.
“Kita yakin akan ada waris (mangsa) yang tampil ke balai (polis) memaklumkan ahli keluarga mereka tidak dikesan dan dipercayai hilang.
“Kita masih tunggu (laporan polis), selepas ini kita akan padankan dan maklumkan angka sebenar mangsa yang kita percaya masih lagi hilang,” katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Misi Bantuan Banjir Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke Pantai Timur di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menemui beberapa petunjuk adanya mangsa yang dikhuatiri tertimbus di kawasan itu.
“Semalam ada jasad ditemui dan difahamkan beberapa lagi dikesan bomba. Pagi ini usaha diteruskan untuk kenal pasti bilangan (mangsa yang tertimbus) dan membawa keluar dari tempat kejadian,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai situasi banjir di Pantai Timur, Acryl Sani berkata, terdapat beberapa balai polis dinaiki air namun keadaan terkawal dan tidak teruk seperti bencana sebelum ini.
“Kita juga sudah mengatur gerak anggota ke lokasi dilanda banjir. Bilangan keseluruhan (balai polis dinaiki air) sedang dikenal pasti.
“Anggota bertugas sudah mengambil langkah untuk memastikan dokumen penting dan peralatan mudah terjejas akibat air dialihkan ke tempat selamat.
“Setakat ini kontinjen guna elemen (anggota) di kontinjen masing-masing untuk memberi bantuan kepada pasukan keselamatan lain dalam usaha mengalih mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan memastikan pergerakan tenaga bantuan dijalankan dengan lancar,” katanya.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 10 pagi tadi, seramai 70,930 mangsa membabitkan 19,977 keluarga masih ditempatkan di PPS di Kelantan dan Terengganu.
-Harian Metro