JASIN : Keputusan enam kerajaan negeri enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hanya membeban serta menyusahkan rakyat negeri terbabit.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Enam negeri berkenaan ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai PAS, serta Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjelaskan perkara itu berkata, tindakan negeri berkenaan bagaimanapun tidak menghalang pelaksanaan PRU15 susulan pembubaran Parlimen pada Isnin lalu.
“Tindakan itu (tidak membubarkan DUN) tiada memberi apa-apa kesan kepada kita. Cuma saya kata, pertama akan menyusahkan rakyat yang keluar mengundi (dua kali), kedua dari segi kos yang bakal ditanggung kerajaan adalah tinggi.
“Kos pilihan raya membabitkan enam negeri itu sudah pasti tinggi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menanggung dua kos dan rakyat akan mengundi dua kali.
“Sebab itu saya dalam mesej pembubaran Parlimen, Isnin lalu, mengesyorkan kalau boleh diadakan secara bersama (pilihan raya DUN dan Parlimen)
“Namun, keputusan sudahpun dibuat negeri berkenaan. Justeru, pilihan raya (PRU15) akan diteruskan seperti biasa, dan mereka berhak untuk membubarkan DUN pada bila-bila masa saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chinchin, di sini, hari ini.
Semalam Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengumumkan parti itu mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu, dan Kedah pada PRU15.
-Berita Harian


