MUAR: Pemuda UMNO Bahagian Muar membuat laporan polis selain mahu mengambil tindakan saman terhadap dakwaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa pihaknya terbabit mengganggu ceramah dihadiri penyandang Ahli Parlimen Muar itu malam tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif, berkata Syed Saddiq mendakwa Pemuda UMNO telah membuat provokasi dan gangguan ketika Ceramah Mega Muar MUDA yang berlangsung semalam.
“Tuduhan berkenaan dikemukakan dalam bentuk ucapan dan beberapa paparan di dalam laman Twitter yang menuduh Pemuda UMNO melakukan perbuatan berkenaan.
“Tuduhan itu juga menyatakan Pemuda UMNO sebagai kumpulan yang mencetuskan kekecohan ketika Syed Saddiq berucap di perkarangan Pejabat Parti MUDA Muar, semalam,” katanya dalam kenyataan.
Tegas beliau, Pemuda UMNO Muar khasnya, dan Pemuda UMNO secara keseluruhannya menolak politik secara provokasi sebegitu dan itu adalah budaya yang tidak diamalkan oleh Pemuda UMNO sendiri.
“Ketika kejadian, keseluruhan jentera Pemuda UMNO Bahagian Muar terlibat secara langsung dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO dan juga Pelancaran Jentera Pilihanraya pada hari semalam.
“Secara logiknya mustahil bagi kami untuk meluangkan masa melakukan sesuatu yang tidak langsung mendatangkan faedah kepada parti,” katanya.
Katanya, pimpinan MUDA dilihat mudah untuk berusaha melemparkan fitnah. Justeru, pihaknya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.
“Saya juga telah berbincang dengan peguam untuk membuat tindakan saman terhadap mereka yang telah menuduh Pemuda UMNO (terbabit) di dalam kes berkenaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan ceramah mega yang dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA malam tadi diganggu sekumpulan ‘mat motor’.
Gangguan tercetus ketika giliran Syed Saddiq menyampaikan ucapannya sebelum ceramah itu diteruskan dan keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis serta sukarelawan yang bertugas.
BHonline-