IPOH: Kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki dipercayai memukul anak tirinya di Parit Buntar yang tular di media sosial sejak Isnin lalu, kini dirujuk kepada Bukit Aman.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya sudah melengkapkan siasatan dan menghantar kertas siasatan pada minggu lalu.
“Kini kita tunggu hasil seterusnya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Polis sebelum ini menahan seorang lelaki dipercayai memukul anak tirinya iaitu seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang membuat laporan pada 18 September lalu.
Kejadian berlaku pada jam 11 malam 17 September lalu dikatakan berpunca daripada pertengkaran mulut antara gadis terbabit dan ibu kandungnya sebelum suspek bertindak menampar pipi sebelah kiri, menendang bahagian belakang badan dan memijak kepala mangsa.
Susulan kejadian itu, mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar sebelum dimaklumkan oleh pihak hospital untuk dirujuk ke Hospital Taiping ekoran mengalami bengkak dan lebam di beberapa bahagian badan.
Motif kejadian berpunca daripada masalah keluarga sehingga menyebabkan pertengkaran, manakala siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan akibat mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya terdapat anggota atau pegawai polis yang memberi perlindungan kepada suspek, Mohd Yusri berkata, hasil siasatan mendapati perkara itu tidak benar sama sekali.
Bernama-