Berdasarkan statistik Lembaga Hasil Dalam Negara Malaysia (HASiL) lebih RM20 bilion cukai dikutip daripada golongan ekspatriat sejak tahun 2014.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Jumlah kutipan cukai itu konsisten setiap tahun dan pungutan tertinggi adalah pada tahun 2019 iaitu RM3.6 bilion.
Mungkin ada yang belum tahu apa dimaksudkan dengan ekspatriat. Ekspatriat bermaksud individu yang tinggal di negara asing.
Ekspatriat dalam maksud percukaian adalah warga asing yang memenuhi syarat mengisi jawatan utama, eksekutif atau bukan eksekutif di sini.
Mereka menggunakan Pas Penggajian, Pas Lawatan Ikhtisas-Pakar dan Pas Pemastautin Bakat untuk bekerja di negara ini.
Sehingga kini sebanyak 162,170 pas aktif ekspatriat dikeluarkan yang merangkumi 99,200 pemegang pas prinsipal dan 62,970 pas tanggungan.
Bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 memaklumkan 15,293 ekspatriat tidak mempunyai fail cukai.
Begitu juga ekspatriat yang mempunyai tunggakan hasil berjumlah RM65.90 juta yang melibatkan 7,174 ekspatriat.
Ini merupakan suatu perbuatan yang amat tidak betanggungjawab oleh sebilangan kecil golongan ekspatriat kepada Malaysia.
Dalam erti kata lain golongan ini ekspatriat yang tidak mengenang budi. Malaysia membenarkan bekerja di sini, tetapi mereka mengelak bayar cukai.
Menggunakan Malaysia sebagai tempat memperoleh pendapatan, tetapi enggan membayar cukai yang perlu dibayar kepada negara ini.
Sedangkan segala kemudahan, keselesaan, keamanan yang turut mereka nikmati sepanjang di Malaysia hasil cukai yang diperoleh oleh negara.
Bagaimanapun, kita percaya golongan ini tidak akan terlepas.HASiL dan Jabatan Imigresen Malaysia telah menjalin semula memorandum persefahaman (MoU).
MoU bagi mengatasi ketirisan cukai melibatkan ekspatriat di negara ini. Kita percaya ramai ekspatriat yang curang dan tidak jujur kepada Malaysia ini akan dapat dikesan tidak lama lagi.
Sepandai-pandai mereka melompat, akhirnya tidak akan terlepas daripada penguatkuasaan HASiL. Percayalah.
-Mynewshub