KUALA LANGAT: Seorang wanita warga emas ditahan kerana dipercayai mendera budak perempuan 10 tahun yang juga anak angkatnya di Tanjong Sepat dekat sini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata wanita berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan di rumahnya pada jam 12.10 tengah malam tadi.
Sebelum itu, pihaknya mendapat laporan daripada Ketua Balai Polis Tanjong Sepat yang menerima satu rakaman video berdurasi 33 saat melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh orang awam, semalam.
Video berkenaan memaparkan seorang wanita sedang menarik rambut serta mengheret seorang budak perempuan yang memakai pakaian seragam sekolah atas jalan di hadapan rumahnya.
“Hasil siasatan awal suspek adalah wanita warga tempatan dan mangsa adalah anak angkat berdaftar kepada suspek yang dipercayai tinggal bersama suspek sejak kecil dan kini berusia 10 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kanak-kanak perempuan dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan. Kanak-kanak berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya.
BHonline-