Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan sebanyak 132 laporan polis dibuat berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kes ini meskipun hanya melibatkan sebuah syarikat agensi pelancongan, namun ia telah memberi implikasi yang amat besar terhadap keyakinan masyarakat khususnya umat Islam terhadap syarikat yang menawarkan pakej haji dan umrah.
Umat Islam Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji atau umrah kini lebih berhati-hati dalam memilih syarikat agensi pelancongan yang mana daripada satu sudut ia suatu amalan yang bagus.
Bagaimanapun dalam satu sudut yang lain ia malapetaka bagi syarikat pelancongan yang jujur apabila nama syarikat mereka tidak tertera dalam List of Travel Operating Business and Travel (TOBTAB) di laman web kementerian berkaitan.
Ia kerana orang ramai akan menjangkakan syarikat pelancongan yang tidak tertera adalah syarikat scam sekali gus memusnahkan perniagaan mereka sedangkan perkara itu berlaku disebabkan isu teknikal.
Difahamkan, nama syarikat terbabit tidak di kemas kini dalam senarai TOBTAB sedangkan mereka tidak pernah gagal memperbaharui lesen walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
“Walaupun diberi kelonggaran, pihak kami tetap perbaharui (lesen) seperti biasa. Setiap kali kepada kementerian berkaitan kenapa ini terjadi, jawapan mereka tidak cukup staf,” kata pemilik salah sebuah syarikat pelancongan yang turut terkesan.
Isu tersebut didakwa sudah lebih setahun berlaku sedangkan setiap kali mahu memperbaharui lesen ada sahaja pembayaran dan kursus tambahan wajib yang dikenakan caj kepada mereka.
“Syarikat kami sejak 2004 beroperasi, terapi ramai yang “call” kata nama kami tak tersenarai. Nama syarikat tidak muncul, orang ingat syarikat scam,” katanya lagi.
Isu ini harus ditangani segera oleh kementerian berkaitan kerana kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah turut memberi kesan terhadap perkhidmatan syarikat agensi pelancongan yang jujur.
Jangan kerana ‘nila setitik rosak susu sebelanga’. Syarikat agensi pelancongan yang jujur seharusnya dilindungi daripada perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Begitu juga dengan proses memperbaharui lesen perlu diperkemaskan untuk mengelak pihak syarikat agensi pelancongan terpaksa berulang kali perlu hadir ke premis kerajaan untuk menguruskannya.
Syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji dan umrah baru hendak ‘kembali bernafas’ selepas beberapa tahun ‘hampir lemas’ akibat pandemik Covid-19.
Pada tahun 2020 sahaja sebanyak 95 syarikat berkaitan agensi pelancongan dan pengendali aktiviti pelancongan dilaporkan terpaksa gulung tikar menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.
Manakala yang masih boleh bertahan juga terpaksa membuang sebahagian kakitangan. Jika isu teknikal berkaitan senarai nama dalam TOBTAB tidak ditangani segera pasti sukar untuk sektor perniagaan ini kembali bangkit.
-Mynewshub