BANGI : Teknologi penapis yang menghasilkan air dengan rasa seperti air zamzam adalah antara faktor menyebabkan berlaku penjualan air zamzam palsu di pasaran ketika ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata air zamzam tidak dijual di pasaran, termasuk di negara ini selaras dengan undang-undang Kerajaan Arab Saudi yang melarang air itu diperdagangkan.
“Air zamzam sememangnya tidak ada dijual di pasaran. Hanya agensi berkaitan urusan haji dan umrah yang dibenarkan untuk membawa pulang air zamzam ini untuk diagihkan kepada jemaah secara percuma. Tidak ada jual beli.
“Tapi sekarang, ada beberapa penapis air tertentu yang mempunyai rasa seperti air zamzam. Itu yang menyebabkan berlakunya pemalsuan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Aplikasi Glosari Bahasa Isyarat Islam (i-Sign), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita mengenai serbuan ke atas sebuah kilang yang menjalankan kegiatan membotolkan air zamzam, dipercayai palsu di Johor, semalam.
Semalam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Johor menumpaskan satu sindiket membotolkan air zamzam disyaki palsu selepas menyerbu sebuah kilang di Taman Ekoperniagaan 2, Senai Airport City, Senai, Johor.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, tindakan membanteras penjualan air zamzam palsu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Julai lalu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM selepas mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.
Beliau berkata, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub mengikut Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Dalam hal ini, katanya Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan terbabit kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.
Justeru, KKM menasihati orang ramai supaya tidak membeli air zamzam daripada mana-mana kedai atau platform dalam talian, terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zamzam tiruan.
Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata penjualan air zamzam adalah haram kerana tindakan membawa air mineral dari Makkah itu masuk ke Malaysia, melanggar peraturan ditetapkan pemerintah.
“Dari sudut agama, hukum bawa masuk air ini tidak haram dan air itu mempunyai keberkatan kerana ia digunakan dalam tujuan merawat penyakit. Namun, apabila undang-undang negara menetapkan perbuatan itu salah atas pelbagai sebab, maka kita perlu patuh. Jika tidak patuh, ia berdosa,” katanya.
Sementara itu, aplikasi i-Sign dibangunkan bersama oleh Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), bertujuan untuk memenuhi keperluan golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran mempelajari istilah Islam dengan lebih tepat.
i-Sign boleh dimuat turun melalui aplikasi PlayStore dan lain-lain platform.
Majlis pelancaran aplikasi i-Sign turut dihadiri, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
-Berita Harian