SUNGAI SIPUT – Jumlah aduan berkaitan kes buli terus mencatat peningkatan kepada 69 selepas portal aduan buli dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 18 Ogos lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, sehingga 25 Ogos, sebanyak 28 aduan diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM manakala masing-masing dua menerusi emel dan aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, sebanyak dua aduan diterima melalui e-mel, 17 panggilan pertanyaan dan 20 pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Apa yang paling penting kerahsiaan maklumat itu dipegang dalam sistem pelaporan ini, kita tidak mahu maklumat sulit ini terkeluar, nanti anak-anak mereka pula diberi tekanan.
“Mesej yang hendak di sampaikan, kita tegas apabila menyentuh isu berkaitan buli dan tidak akan berkompromi,” katanya kepada pemberita selepas program Wacana Dr Radzi Jidin Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Asli, di sini pada Khamis.
Mohd Radzi berkata, apabila aduan diterima, siasatan akan terus dijalankan bagi membolehkan ia diselesaikan segera.
Katanya, bagaimanapun tempoh masa untuk setiap aduan diselesaikan berbeza kerana memerlukan siasatan mendalam.
“Kalau mulakan siasatan dengan ada tempoh masa ia akan membawa kepada keadaan jika tempoh itu terlalu pendek, tak sempat siasat habis dah buat kesimpulan.
“Tidak mahu begitu, kita mahu keadilan untuk semua. Laporan yang diterima kita siasat satu persatu dengan mendalam sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.
-Sinar Harian