Sample Page Title

KUALA LUMPUR : “Saya dengan rendah hati memohon maaf”, pinta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kerana berkongsi semula hantaran di Instagram berhubung prosiding perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ikuti Mynewshub: Telegram

Syed Saddiq membuat permohonan maaf itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid yang mendengar prosiding perbicaraan mengeluarkan amaran akhir berhubung larangan membuat kenyataan membabitkan kes berkenaan.

“Saya rasa perkara ini agak serius, Hakim Mahkamah Tinggi yang lain, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Hakim Mohamed Zaini Mazlan juga membuat pelbagai komen dan teguran mengenai perkara ini.

“Biar ini menjadi amaran terakhir kepada pihak yang terbabit supaya tidak lagi membuat komen sebegini …supaya kita boleh teruskan dengan perbicaraan tanpa isu sebegini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu mahkamah bahawa satu laporan polis sudah dibuat ke atas tertuduh, pagi tadi.

Ia berikutan tindakan Syed Saddiq berkongsi semula hantaran dibuat oleh rakannya di laman Instagram yang dikatakan bersifat subjudis.

“Perkara ini beberapa kali berlaku dan Syed Saddiq sudah diberi amaran sebelum ini oleh Yang Arif Mohamed Zaini, tetap masih berlaku.

“Beliau komen mengenai prosiding ini, berhubung kredibiliti saksi, …ia adalah untuk mahkamah membuat dapatan fakta mengenai perkara berkenaan,” katanya sambil menambah pendakwaan sedang menimbangkan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Syed Saddiq.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq bagaimanapun berkata anak guamnya hanya berkongsi semula hantaran berkenaan dan ia sudah dipadam.

Katanya, hantaran berkenaan bukan ditulis oleh anak guamnya dan ia dikongsi semula secara tidak disengajakan.

“Kami sudah mengambil notis penuh berhubung perkara itu dan sudah memaklumkan anak guam supaya berhati-hati untuk tidak berkongsi semula sebarang hantaran,” katanya.

Isnin lalu, mahkamah mengeluarkan peringatan kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu selepas satu laporan polis dibuat ke atas peguam Lim Wei Jit kerana mendedahkan pembelaan tertuduh ketika sidang media pada 21 Jun lalu.

Peguam Haijan Omar, yang mewakili Syed Saddiq kemudian memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku dan memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang.


Terdahulu pada prosiding perbicaraan, kedua-dua pihak berhujah untuk mahkamah memutuskan sama ada boleh menggunakan budi bicaranya bagi memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi utama kes iaitu Rafiq Hakim Razali, 32.

Ia selepas keterangan bekas Penolong Bendahari Armada Parti Bersatu itu didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 18 Julai ini untuk keputusan berhubung perkara itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

-Berita Harian

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

JDT Kelab Pertama Jalin Kerjasama Dengan Socios.com

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi kelab pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama...

Ibu Bimbang, Anak Empat Hari Tidak Pulang Ke Rumah

BACHOK: Seorang ibu di Kampung Tok Kederat di sini, diselebungi kebimbangan apabila anak kelima...

Kertas Siasatan Kes Pukul Anak Tiri Diserah Ke Bukit Aman

IPOH: Kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki dipercayai memukul anak tirinya di Parit Buntar...

Polis Tubuh Pasukan Siasatan Khas Berkaitan Kes Cubaan Culik Murid

IPOH: Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tular berhubung cubaan menculik...

Air Pasang Besar: Orang Ramai Dinasihat Elak Ke Pantai Esok Hingga Khamis

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak berada di kawasan pantai berikutan fenomena...

Tawar Ganjaran Lumayan AS$2 Juta Untuk Tahan Rakyat Malaysia Lolos

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan kerja didakwa menjanjikan ganjaran lumayan AS$2 juta (RM9.1 juta) bagi...

Manfaatkan Perkhidmatan Digital HASiL

Malaysia sedang menuju kepada sebuah negara tanpa tunai di mana urusan kewangannya termasuk membeli...