Sample Page Title

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menerima permohonan daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) untuk mengeluarkan wang RM1 juta daripada akaun sayap parti itu.

Ikuti Mynewshub: Telegram

Muhammad Zulhelmi Zaulkafly, 30, berkata, Pejabat Bendahari Bersatu juga tidak menerima sebarang makluman daripada Armada berhubung pengeluaran wang berkenaan.

Beliau yang juga Pegawai Kewangan I Bersatu yang mengawal selia dan mentadbir serta mengurus hal ehwal kewangan parti berkata, sepanjang perkhidmatannya selama enam tahun di Pejabat Bendahari Bersatu, beliau tiada pengetahuan wang dikeluarkan daripada akaun Armada.

Saksi pendakwaan ke-20 itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Pada sesi pemeriksaan utama, saksi turut ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Shahrom Idris sama ada perbelanjaan melebihi RM500,000 perlu mendapat kelulusan pimpinan tertinggi parti.

Muhammad Zulhelmi: “Ya, mengikut Fasal 24 Perlembagaan Bersatu.”

Mohd Shahrom: “Jika ada sesuatu pengeluaran wang, adakah ia perlu direkodkan?”

Muhammad Zulhelmi: “Perlu.”

Mohd Shahrom: “Apa akan terjadi jika ia tidak direkodkan?”

Muhammad Zulhelmi: “Melanggar Peraturan 24, di mana kita nak mengelakkan berlaku ketirisan kewangan.”

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi berkata, pemegang amanah bagi akaun Armada ialah Syed Saddiq, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang ketika itu Penolong Setiausaha Armada dan Rafiq Hakim Razali ketika itu Penolong Bendahari Armada.

Sebelum ini, Rafiq, 32, memberi keterangan bahawa pengeluaran wang RM1 juta atas arahan Ahli Parlimen Muar selaku Ketua Armada, tidak mengikut prosedur selain mengakui terjebak dalam perkara itu sejak awal lagi.


Rafiq berkata, pengeluaran wang daripada akaun Armada itu adalah salah kerana tiada kertas kerja dikemukakan untuk membolehkan wang itu dikeluarkan dari bank pada 6 Mac 2020.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. (pertuduhan pindaan kedua)

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

-Utusan Online

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

JDT Kelab Pertama Jalin Kerjasama Dengan Socios.com

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi kelab pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama...

Ibu Bimbang, Anak Empat Hari Tidak Pulang Ke Rumah

BACHOK: Seorang ibu di Kampung Tok Kederat di sini, diselebungi kebimbangan apabila anak kelima...

Kertas Siasatan Kes Pukul Anak Tiri Diserah Ke Bukit Aman

IPOH: Kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki dipercayai memukul anak tirinya di Parit Buntar...

Polis Tubuh Pasukan Siasatan Khas Berkaitan Kes Cubaan Culik Murid

IPOH: Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tular berhubung cubaan menculik...

Air Pasang Besar: Orang Ramai Dinasihat Elak Ke Pantai Esok Hingga Khamis

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak berada di kawasan pantai berikutan fenomena...

Tawar Ganjaran Lumayan AS$2 Juta Untuk Tahan Rakyat Malaysia Lolos

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan kerja didakwa menjanjikan ganjaran lumayan AS$2 juta (RM9.1 juta) bagi...

Manfaatkan Perkhidmatan Digital HASiL

Malaysia sedang menuju kepada sebuah negara tanpa tunai di mana urusan kewangannya termasuk membeli...