KOTA BHARU : Polis Kelantan menahan 240 individu yang disyaki pengedar dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM98,553.90 sepanjang tempoh enam hari Op Tapis yang berakhir semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Sepanjang Op Tapis itu, polis turut menyita pelbagai barangan milik pengedar terbabit yang dianggarkan berjumlah RM57,000 dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, terbaharu pihaknya berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah ketika berada di sebuah pangkin kayu di Kampung Bendang Pulau, Palekbang, Tumpat, semalam.
Menurutnya, lelaki yang berusia 27 tahun itu ditahan ketika bersendirian bersama dengan sebuah kotak besi berwarna hijau pada pukul 10.30 malam.
“Hasil pemeriksaan di dalam kotak itu, kita menemui 194 biji pil yaba. Polis kemudian melakukan pemeriksaan lanjut kawasan pangkin kayu itu dan menjumpai satu bungkusan plastik berwarna ungu di atas tanah yang mengandungi 2,800 pil yaba.
“Turut ditemui, 3.7 gram syabu dan 500 mililiter air ketum. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu berjumlah RM30,200 dan kita turut menyita sebuah kereta jenis Honda Jazz milik suspek,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, dalam serbuan kedua di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki dan merampas 700 kilogram daun ketum.
Katanya, lelaki berusia 35 tahun yang berasal dari Baling, Kedah itu ditahan pada pukul 10.15 pagi.
“Pemeriksaan di bahagian belakang lori yang ditutupi dengan kanvas telah menemui 70 bungkusan plastik mengandungi daun ketum.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mahu menyeludup daun ketum itu ke negara jiran. Kedua-dua lelaki terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini, untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
-Utusan Online