SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akan mempertahankan kenyataannya berhubung desakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu kerajaan menyuntik wang demi menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB).
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Rafizi berkata, tindakan itu akan dilakukan ekoran kenyataan berhubung perkara itu adalah bagi melindungi kepentingan awam.
“Saya telah menerima writ saman dari Tan Sri Shahril Shamsuddin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan SEB sekitar jam 11.30 malam semasa saya dalam satu majlis di Kuantan pada 11 Mei lalu.
“Writ itu adalah untuk mengesahkan bahawa Tetuan Zul Rafique & Partners, peguam kepada Shahril Shamsuddin telah memfailkan saman terhadap saya di mahkamah berhubung kenyataan-kenyataan saya ekoran desakan Najib agar kerajaan menyuntik wang untuk menyelamatkan SEB.
“Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan kenyataan-kenyataan saya di mahkamah kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah untuk melindungi kepentingan awam,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Rafizi berkata, perbicaraan kes saman Shahril terhadapnya itu nanti merupakan titik mula dalam usaha memastikan pelaburan rakyat melalui institusi pelaburan awam memenuhi mutu piawai urus tadbir untuk pelaburan awam.
Katanya, pelaburan rakyat mengalami kerugian besar akibat masalah kewangan yang dihadapi Serba Dinamik Berhad dan SEB walaupun kedua-duanya syarikat swasta yang dikawal secara majoriti oleh pemegang saham individu.
Justeru katanya, kerangka urus tadbir pelaburan awam perlu lebih ketat untuk mengelakkan dana simpanan rakyat alami kerugian apabila syarikat berkenaan menanggung kerugian besar.
“Sejak 2010, saya telah melalui 14 kes di mahkamah, dari Mahkamah Sesyen hingga ke Mahkamah Persekutuan demi mempertahankan wang rakyat. Sebahagian besar dari kes-kes itu bersabit skandal kewangan besar negara seperti National Feedlot Corporation (NFC), 1MDB, Majlis Amanah Rakyat, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Setakat ini saya menang kesemua kes saman yang dibawa di mahkamah. Dalam proses mahkamah itu, rakyat dapat menilai sendiri butiran terperinci yang menjadi latar belakang setiap skandal kewangan tersebut.
“Saya akan diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Ranjit Singh dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh. Beliau adalah peguam yang mewakili saya selama 11 tahun sepanjang perbicaraan kes NFC dari 2011 hingga ke keputusan akhir Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada kami baru-baru ini,” katanya.
Dalam pada itu Rafizi turut menyifatkan, kepulangannya ke arena politik setelah hampir dua tahun berehat disambut oleh kes mahkamah pertama oleh Shahril.
“Insya-ALLAH saya akan terus bersuara untuk melindungi dana rakyat seperti sebelum ini, biar pun terpaksa berdepan dengan lebih banyak kes mahkamah yang akan dibawa,” ujarnya.
SinarHarian-