KUALA LUMPUR : Peguam Kanan (QC) daripada United Kingdom (UK), Jonathan Laidlaw memiliki kepakaran dalam undang-undang perniagaan dan jenayah kewangan serta tersenarai dalam senarai 500 orang paling berpengaruh di Britain oleh Sunday Times/Debretts.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Direktori Undang-Undang UK menyifatkan Laidlaw sebagai seorang peguam luar biasa yang mempunyai kemahiran tinggi dengan secara bersahaja memenangi kes yang paling sukar melalui kepakaran ‘soal balas maut’ dan ucapan penutup yang tegas.
Beliau berkata, Laidlaw juga adalah penerima anugerah ‘Crime Silk of the Year’ yang disifatkan Direktori Undang-Undang UK sebagai peguam yang memberikan layanan tahap tertinggi kepada anak guam, selain ‘menguasai mahkamah’ dengan penuh mengagumkan dan amat dihormati serta disegani.
“Mereka menyifatkannya sebagai ‘seorang peguam bela yang cemerlang, sentiasa terbabit dalam kes berprofil tinggi dan meraih tajuk utama. Beliau juga berkemahiran menasihati individu penting mengenai isu sensitif yang membabitkan reputasi,” katanya.
Muhammad Shafee berkata demikian ketika mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Laidlaw untuk diterima masuk sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Malaya bagi mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan SRC International Sdn Bhd.
Muhammad Shafee berkata, Laidlaw terbabit dalam 109 kes yang dilaporkan di Mahkamah Tinggi , Mahkamah Rayuan dan House of Lords (kini Mahkamah Agung), dan mempunyai kelayakan serta pengalaman dalam pelbagai bidang kes rasuah di UK dan dalam bidang kuasa mahkamah di luar negara.
Beliau berkata, peguam itu mahir dalam bidang perundangan jenayah kewangan dan tiada peguam bela serta peguam cara di negara ini yang mempunyai tahap pencapaian sama sepertinya.
Beliau berkata, peguam itu kini mewakili beberapa individu yang disiasat oleh agensi siasatan penipuan kewangan dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) bagi pihak Bank of England, Pret a Manger (francais kedai sandwich antarabangsa) dan Kelab Bolasepak Chelsea.
Selain itu, katanya, Laidlaw juga bertindak mewakili bintang tenis Boris Becker dalam perbicaraan jenayah bagi kesalahan penipuan dan insolvensi di UK.
“Perayu (Najib) berhasrat menggunakan khidmat profesionalnya (Laidlaw) untuk bertindak sebagai peguam utama dalam rayuan ini.
“Mahkamah Persekutuan akan mendapat manfaat dan dapat menggunakan pengalaman pemohon dalam bidang yang penting dan sensitif serta sentiasa berubah ini. Dalam keadaan ini, berkemungkinan pemerhati antarabangsa akan hadir di mahkamah berdasarkan identiti perayu (Najib) dan kes berprofil tinggi ini.
“Saya benar-benar percaya bahawa pencapaian Laidlaw adalah pada tahap yang luar biasa dan melebihi ukuran pencapaian yang dicapai oleh peguam bela dan peguam cara Malaysia,” katanya.
Menurut laporan media sebelum ini, pendengaran permohonan untuk menerima masuk Laidlaw sebagai peguam cara dan peguam bela dijangka didengar di antara 20 dan 24 Jun ini.
Berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertarikh 29 April lalu, pendengaran rayuan akhir Najib ditetapkan selama 10 hari iaitu dari 15 hingga 19 Ogos sebelum bersambung pada 22 hingga 26 Ogos ini.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.
-Berita Harian