JOHOR BAHRU : Polis menahan dua suspek termasuk seorang wanita warga Korea Selatan berhubung kes penipuan jualan tiket penerbangan membabitkan negara itu, Sabtu lalu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, dua suspek utama kes itu ditahan di Tanjung Aru, Sabah.
“Suspek terdiri daripada wanita warga Korea Selatan berusia 39 tahun dan lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang mana kedua-dua mereka kini direman sehingga esok,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada 11 Mei lalu, Mohd Kamarudin dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur berkata, polis menerima 20 laporan berhubung kes penipuan penjualan tiket penerbangan secara dalam talian membabitkan kerugian bernilai RM233,954.
Berdasarkan siasatan, beliau berkata, mangsa melayari satu laman web yang memaparkan iklan penjualan tiket penerbangan yang didakwa dikendalikan oleh syarikat Apsan Travel and Tour Sdn Bhd.
Mangsa dikatakan membeli tiket penerbangan yang diiklankan kerana tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding harga pasaran dan setelah pembayaran dibuat, mangsa gagal memperoleh tiket penerbangan yang dibeli.
Sementara itu, Polis Johor menerima lima laporan polis daripada lima warga Korea yang menjadi mangsa satu sindiket penjualan tiket penerbangan ke negara itu, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima laporan polis itu dibuat di seluruh negeri ini membabitkan kerugian RM59,125.
“Ini berhubung kes penipuan tiket penerbangan ke Korea Selatan yang mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat tangkapan ke atas seorang wanita Korea dan warga tempatan.
“Di Johor sahaja membabitkan lima kes iaitu lima warga Korea Selatan yang ditipu oleh sindiket ini. Kes ini berlaku di seluruh negara termasuk Sabah dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada Jamuan Hari Raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa terbabit membuat pembelian tiket penerbangan untuk pulang ke Korea dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagaimanapun menyedari diri mereka ditipu suspek yang dipercayai membuka akaun bank agensi pelancongan yang palsu.
Katanya, sindiket yang didalangi warga Korea dan Malaysia itu menyasarkan warga negara terbabit yang berada di Malaysia ketika tempoh PKP dan ingin pulang ke negara asal mereka.
-Berita Harian