NILAI: Polis menerima tiga laporan semalam, berhubung kes pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di daerah ini yang mendakwa dicederakan pelajar senior.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Tiga pelajar berusia 14 tahun itu menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata pihaknya sudah mengenal pasti dua pelajar senior berkenaan bagi membantu siasatan kes.
“Kita menerima tiga laporan polis daripada tiga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh yang mendakwa dipukul pelajar senior, dipercayai tingkatan empat.
“Kejadian menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan mangsa.
“Mangsa menerima rawatan di HTJS dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih dibuat dalam mengenal pasti punca kejadian dan jika ada pelajar lain terbabit.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun.
BHonline-

