KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 780 kilogram (kg) daun ketum dan 150 bungkusan minyak masak bersubsidi ke Thailand selepas menahan dua warga negara jiran itu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 10.50 malam Sabtu lalu ketika dalam sebuah bot pada kedudukan 0.5 batu nautika barat pantai Pulau Ketam, Kuala Perlis, di sini.
Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata, bot itu dikesan hasil kerjasama maklumat Unit Risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dipantau Unit Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dikesan sedang bergerak keluar dari Kuala Sanglang menuju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand dalam keadaan bergelap dan mencurigakan. Kita terus atur gerak bot ronda pasukan operasi ke lokasi.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua suspek dalam bot itu terus memecut laju dalam usaha meloloskan diri dengan menuju ke daratan berhampiran, namun bot ronda kita berjaya memintas mereka dan menahan bot itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, tekong bot berkenaan terjun dan berenang ke daratan berhampiran, namun rakannya yang berusia 40 tahun berjaya ditahan sebelum pemeriksaan ke atas bot itu menemui 78 bungkusan plastik hitam dengan berat 780kg disyaki daun ketum bernilai RM140,400.
“Selain itu, 150 paket minyak masak bersubsidi dengan berat 150kg bernilai RM1,200 yang dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand menggunakan laluan laut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot fiber berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan sekitar RM161,600,” katanya.
Dalam kejadian berasingan hampir satu jam kemudian, APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 140 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum pada jarak satu batu nautika barat pantai Sungai Padang, Kuala Perlis.
Mohd Hashim berkata, rampasan sekitar jam 11.59 malam susulan maklumat risikan, intipan dan pemantauan berterusan anggotanya yang mengesan seorang suspek mengemudi bot dalam keadaan mencurigakan keluar dari muara Sungai Kerpan ke arah sempadan perairan Malaysia-Thailand.
“Sebaik suspek menyedari diekori bot anggota kita, suspek terus memecut laju ke sempadan perairan Thailand, namun berjaya dipintas dan ditahan. Pemeriksaan ke atas bot itu menemui 140 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum, anggaran berat 1.4 tan bernilai RM252,000.
“Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan lelaki Thailand berusia 26 tahun. Nilai keseluruhan rampasan kedua ini, termasuk bot fiber berserta enjin sangkut dianggarkan sekitar RM272,000,” katanya.
Katanya, semua suspek serta rampasan dalam dua kejadian itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
BHonline-