ALOR SETAR: Pengilang beras di negeri ini diingatkan supaya tidak terlibat dengan penghasilan benih padi tidak sah bagi meraih keuntungan mudah menjelang musim baharu penanaman padi.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengarah Kawal Selia Padi Beras Kedah, Abdul Rahman Tajudin berkata, pemantauan ke atas kesemua 61 kilang beras di negeri ini akan terus diperhebatkan lagi selepas ini.
“Berbanding musim lepas, kali ini, kita dapati penjualan benih padi tidak sah tidak lagi dibuat secara terbuka di kedai-kedai input pertanian setelah pemantauan dilakukan secara aktif.
“Bagaimanapun kita tahu bahawa penjualan di pasaran gelap masih berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras Kedah di Shahab Perdana di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya belum menemukan sebarang bukti dan tangkapan membabitkan pengilang yang didakwa terlibat dalam kegiatan itu.
“Bagi mengatasi isu berkenaan, kami kini giat melakukan pemantauan di kilang-kilang beras.
“Sebelum ini, ada dakwaan menyatakan terdapat kilang beras terlibat melakukan kegiatan itu, namun, sehingga kini belum ada bukti atau tangkapan membabitkan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap pengilang sekiranya ada yang tertangkap berbuat demikian termasuk menarik semula pemberian subsidi selain pendakwaan di mahkamah.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu mendatangkan risiko terhadap petani memandangkan benih-benih padi yang dijual tidak ditentu sahkan kualitinya berbanding benih padi sah yang melalui beberapa proses serta tapisan ditetapkan kerajaan.
Difahamkan, benih padi tidak sah atau turut dikenali sebagai benih kampit putih menjadi antara pilihan petani di negeri ini kerana kedai-kedai input pertanian biasa hanya menjual benih padi sah secara pakej bersama dengan racun.
Untuk rekod, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kedah merampas lebih 6.7 tan benih padi tidak sah pada 2021 bernilai RM8,100.
UtusanOnline-