KUALA LUMPUR : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diberi tempoh 48 jam untuk meminta maaf dan menarik balik tuduhannya terhadap Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Melalui hantaran Facebook, Isham menegaskan, jika tiada maklum balas diterima pihaknya dalam tempoh itu, beliau mempertimbangkan untuk mengambil tindakan selanjutnya termasuk saman.
Beliau juga menegaskan laporan polis akan dibuat esok supaya kesalahan fitnah oleh Sanusi itu dapat disiasat.
“Saya beri tempoh 48 jam kepada Sanusi untuk meminta maaf kepada saya dan menarik balik apa yang dia kata, jika tidak saya akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya termasuklah tindakan saman seperti yang disarankan netizen,” katanya.
Hantaran itu merujuk kenyataan Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat bahawa dokumen ‘PASLeaks’ dipercayai dibuat pasukan laskar siber pihak tertentu yang bakal mendapat kepentingan apabila maklumat berkaitan dakwaan perancangan menjatuhkan kepemimpinan UMNO disebarkan secara terbuka.
Sanusi turut memetik nama Isham sebagai contoh ketika menyatakan anggapan beliau bahawa dokumen itu dibuat laskar siber pihak yang mendapat kepentingan daripada dokumen terbabit.
Isham berkata, beliau percaya Menteri Besar Kedah itu tidak akan terlepas cakap sekiranya tahu undang-undang, memandangkan apa yang disebutnya itu adalah tuduhan terbuka yang membawa unsur fitnah yang berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi seseorang.
Katanya, mengikut undang-undang, penggunaan perkataan “mungkin” tidak melepaskannya daripada kesalahan memfitnah kerana insinuasi, innuendo dan kiasan juga boleh membawa elemen fitnah dalam undang-undang tort (salah laku) mahupun jenayah.
“Semalam saya sarankan agar Sanusi dan Samsuri (Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri) bersumpah laknat menyatakan bahawa mereka tidak terbabit dan tidak pernah berbincang seperti dalam minit mesyuarat itu.
“Dan saya pun akan bersumpah laknat bersama mereka kerana saya berani kata bahawa tuduhan Sanusi kepada saya itu adalah fitnah melulu, kerana saya tidak ada kaitan pun dalam penyediaan minit mesyuarat itu,” tegasnya yang percaya Sanusi seperti Menteri Besar Terengganu akan takut untuk bersumpah laknat.
-Berita Harian

