KOTA BHARU : Polis merampas 120.5 kilogram dadah jenis syabu dan pil yaba yang keseluruhannya bernilai RM4.6 juta selepas menahan tujuh individu termasuk pasangan suami isteri, menerusi enam serbuan berasingan pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata serbuan dilakukan Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan itu membabitkan beberapa daerah termasuk di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat, hasil risikan dan maklumat awam.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa yang membawa kepada penahanan suami isteri dan rampasan pil yaba pada jam 8.15 malam Jumaat lalu.
“Susulan tangkapan itu, polis melancarkan lima lagi serbuan di beberapa daerah yang membawa kepada penahanan lima suspek yang semuanya berusia antara 25 hingga 46 tahun.
“Hasil operasi berkenaan, kita merampas 101.5 kilogram dadah jenis syabu, 19 kilogram pil yaba dan empat liter ubat batuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Ayob Khan berkata, siasatan pihaknya mendapati modus operandi suspek adalah membawa masuk bekalan dadah yang diperoleh dari Thailand menggunakan pangkalan haram untuk pasaran tempatan.
“Kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dan kami sedang mengesan saki baki kumpulan itu.
“Saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Susulan tangkapan itu, polis turut menyita harta benda suspek termasuk kereta, barang kemas, beg tangan, wang tunai dan jam tangan bernilai RM538,943.50,” katanya.
Ayob Khan berkata, semua suspek ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Suspek yang ditahan bekerja sebagai pemandu bot, juruteknik penghawa dingin, bekerja sendiri, pendandan rambut selain ada yang menganggur,” katanya.
-Berita Harian