IPOH: Polis Perak mengadakan 54 sekatan jalan raya (SJR) menerusi Op Tutup bagi menjejaki saki baki tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang, pagi tadi.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, SJR itu dijalankan di Jalan Persekutuan seluruh negeri dan Lebuh Raya Utara-Selatan dengan kekuatan 243 anggota.
Katanya, penumpuan juga diberikan di daerah bersempadanan Pulau Pinang dan Kedah yang merupakan titik panas iaitu Kerian, Selama dan Taiping.
“Kita sudah laksanakan Op Tutup sejak awal pagi tadi selepas menerima maklumat daripada Kontinjen Pulau Pinang dan Kedah tentang pembolosan tahanan warga asing yang berlaku di pusat tahanan itu.
“SJR ini bukan sahaja diadakan di Jalan Persekutuan tetapi juga lebuh raya. Kalau ikut maklumat, mereka ini keluar melintas lebuh raya, jadi kita akan buat sekatan di lokasi-lokasi yang sesuai.
“Setakat ini, belum ada laporan membabitkan tangkapan dikesan di Perak. Usaha telah digerakkan bagi membantu kedua-dua kontinjen berkenaan dalam mengesan pelarian terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemakaian dan Penyematan Pangkat bagi pegawai dan anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kontinjen Perak di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Senior Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor.
Pada majlis itu, seramai tiga pegawai kanan dan 303 anggota pangkat rendah SSPDRM terlibat dalam pemakaian dan penyematan pangkat.
Menurut Mior Farid, pemantauan dan rondaan juga akan diadakan di lokasi berisiko untuk tahanan menyembunyikan diri seperti masuk ke kawasan kampung.
“Memang tidak dinafikan pelarian ini mungkin akan masuk ke kampung, jadi, saya minta penduduk kampung dan pemimpin setempat, jika ternampak mereka, hubungi balai polis berdekatan bagi membolehkan kita mengambil tindakan,” katanya.
Dalam insiden kira-kira pukul 4.30 pagi itu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilapor melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu.
Daripada 528 yang melarikan diri, seramai 357 telah ditemui termasuk enam yang maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika melintas jalan di Kilometer 168, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.
UtusanOnline-