KUALA LUMPUR : Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 akan memberi banyak faedah sosioekonomi kepada Malaysia, termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan, selain menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini, berkata mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang dipengerusikannya semalam membincangkan pelan hala tuju berkenaan yang wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri.
“Ini selari dengan Revolusi Industri 4.0 seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan.
“Pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, peranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global yang akan melonjakkan ekonomi negara,” katanya.
Perdana Menteri memaklumkan, 33,391 peluang pekerjaan yang diunjurkan melalui pelan berkenaan pula merangkumi 5,968 pekerja berkemahiran tinggi, 24,755 pekerja separuh mahir serta 2,668 pekerja kurang mahir.
Katanya, mesyuarat sama juga membincangkan penawaran modal insan dan permintaan pasaran pekerjaan dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian tuntas untuk meningkatkan daya saing sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
“Kerajaan memandang serius jumlah pelajar dalam bidang STEM yang ketika ini pada kadar 47 peratus dan sains tulen sebanyak 19 peratus. Minat pelajar dalam bidang STEM perlu dipertingkatkan dan Kementerian Pendidikan (KPM) diarah menerajui hala tuju STEM,” katanya.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat semalam turut menyentuh mengenai kepentingan untuk mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).
“Usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini satu langkah baik dalam memperkasakan inovasi di peringkat akar umbi.
“Inisiatif ini dilihat mampu menganjakkan pengagihan ekonomi yang inklusif kepada semua peringkat pendapatan terutamanya B40 dan M40 dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi tempatan di peringkat akar umbi,” katanya.
Mesyuarat juga, katanya, bersetuju menambah baik struktur tadbir urus inisiatif ‘National Technology and Innovation Sandbox’ (NTIS), dengan Jawatankuasa ‘Task Force’ NTIS diubah nama kepada Jawatankuasa Pemandu NTIS, manakala Majlis NTIS dimansuh dan digantikan pelaporan kepada NSC.
“Pelaporan NTIS dijadikan agenda tetap dalam mesyuarat NSC bagi mengurangkan pertindihan dengan majlis sedia ada memandangkan NSC turut dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Jawatankuasa ‘Task Force’ NTIS yang baharu diwujudkan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya MOSTI menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama semua pemegang taruh menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN).
“Penggubalan itu perlu dalam usaha negara menangani isu berkaitan hubung kait antara kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti serta perubahan iklim,” katanya.
-Berita Harian