Hulu Selangor : Dalam usaha menyemarakkan lagi agenda pengajian sepanjang hayat (PSH), Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah menawarkan dua program diploma kebombaan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kedua program itu sudah mendapat perakuan akreditasi sementara selepas melalui penilaian MQA dan memenuhi standard serta kriteria jaminan kualiti ditetapkan.
Menurutnya, buat masa ini, penawaran itu hanya dibuat untuk lantikan dalam perkhidmatan sahaja, bagaimanapun difahamkan selepas mendapat akreditasi penuh, akademi berkenaan merancang untuk menawarkannya kepada pegawai bomba dari luar negara.
“Usaha ini akan membantu menjayakan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global pada masa akan datang.
“Penawaran program kebombaan di peringkat antarabangsa akan mampu membantu jadikan negara ini sebagai destinasi pilihan untuk menyambung pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Perjumpaan dan Amanat Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid di Akademi Bomba Kuala Kubu Bahru di sini, semalam.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA Halinordina Mat Saat menyampaikan surat akreditasi sementara untuk dua program kebombaan iaitu Diploma Lanjutan Sains Kebombaan dan Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan kepada Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Bomba Wilayah Tengah, Muhammad Azmi Ismail.
Penyerahan itu turut disaksikan Mohammad Hamdan bersama Pengarah Bahagian Latihan Akademi Bomba dan Penyelamat Bomba Wilayah Tengah, Md Ali Ismail.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dua program terbabit adalah program latihan bagi Pegawai Penolong Penguasa Bomba Gred KB 29 dan KB 41.
“Idea untuk mendapatkan perakuan akreditasi sementara bagi kedua-dua program ini adalah aspirasi Datuk Seri (Mohammad Hamdan) sendiri dalam usaha untuk memantapkan lagi mutu dan perkhidmatan bomba,” katanya.
-Harian Metro