KUALA LUMPUR: Kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka menjadi indikator Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal diadakan tahun ini.
Jangkaan itu disuarakan penganalisis politik dan geostrategis, Prof Madya Dr Azmi Hassan, berdasarkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu PRU-15 diadakan selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat pada Julai nanti.
“Ramai menjangkakan kemungkinan PRU-15 akan berlangsung dan tiada lagi PRN, kerana sebelum ini kita memikirkan mungkin ada PRN sama ada di Kedah atau Perak. Namun susulan kemenangan besar BN di Johor, kemungkinan selepas ini adalah PRU pula.
“Bagaimanapun ini bergantung kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana beliau tidak boleh mempamerkan sengaja ingin melengah-lengahkan kerana bimbang akan ada tuduhan kononnya Ismail Sabri ingin mengekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada BH, hari ini.
BH sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid pada sidang media sehari sebelum PRN Johor, mahu PRU-15 diadakan selepas MoU bersama pembangkang tamat pada 31 Julai nanti.
Beliau yang juga Presiden UMNO, mendakwa faktor ‘feel good’ dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN, perlu diambil kesempatan oleh parti itu, sekali gus menyegerakan PRU-15.
Dalam pada itu, Azmi berkata, Perdana Menteri juga perlu berhati-hati sebelum mempertimbangkan untuk membubarkan Parlimen kerana sebagai Naib Presiden UMNO, beliau tidak boleh mempamerkan partinya terlalu gelojoh untuk mengadakan pilihan raya.
“Jadi inilah pertimbangan yang perlu diambil kira bukan sahaja oleh Perdana Menteri, malah MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO itu sendiri dalam mendesak Perdana Menteri.
“Justeru, saya menjangkakan kemungkinan besar PRU-15 itu akan diadakan tahun ini juga,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata kestabilan politik menjadi faktor utama dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara yang sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
Jelasnya, pelaksanaan pilihan raya umum antara langkah diperlukan untuk mendapatkan kestabilan dalam kerajaan
sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur.
“Seiring dengan kerajaan yang kukuh, isu persepsi seperti rasuah juga perlu ditangani. Jika buat pilihan raya dan membentuk kerajaan yang kuat, namun isu persepsi rasuah gagal ditangani, belum tentu pelabur akan yakin untuk melabur di negara kita.
“Bagaimanapun, andai kata PRU-15 diadakan selepas Julai nanti, bagi saya masih sempat untuk kerajaan merangka belanjawan tahun depan dan sebagainya,” katanya.
BHonline-