KLUANG : Seorang juruteknik maut dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki berusia 51 tahun dalam pergaduhan di sebuah bangunan rumah ibadat di Jalan Ampuan, di sini malam tadi.
Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata dendam dipercayai motif kejadian di antara mangsa berusia 45 tahun dengan suspek yang bekerja sebagai penjaga rumah ibadat itu kerana kedua-duanya dipercayai pernah bergaduh sebelum ini.
Katanya, hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dan lelaki terbabit direman tujuh hari hingga 1 April untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Aduan diterima jam 9.54 malam tadi mengenai satu pergaduhan berkenaan dan sebaik anggota polis tiba di lokasi, seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah. Mangsa disahkan meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan pada badan.
“Pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dengan bantuan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor mengambil beberapa sampel di tempat kejadian untuk siasatan dan susulan itu, seorang lelaki tempatan ditahan untuk siasatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 07-7784222 atau 07-7784256.
-Berita Harian