PASIR GUDANG : Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan menampilkan sebahagian besar muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata senarai penuh calon serta bilangan kerusi yang akan ditandingi parti itu belum dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi ialah DUN Permas dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang.
“Calon yang akan bertanding, kita akan umumkan sedikit masa lagi. Masih ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan terlebih dahulu dari segi jumlah kerusi yang akan ditandingi.
“Calon pun kita sudah kenal pasti dan akan umumkan tidak lama lagi. Kita adalah parti yang perlu melihat dari segi keadaan yang menawarkan muka baharu dalam arena politik, supaya kelihatan wajah WARISAN.
“DUN Permas antara kerusi yang akan kita tandingi, sebab itu kita mengadakan lawatan ke sini hari ini. Kita juga turut mengadakan perbincangan persediaan untuk bahagian DUN dan Parlimen Pasir Gudang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra di kawasan perniagaan Seri Alam, di sini, hari ini.
Kelmarin, WARISAN mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Mohd Shafie sebelum ini dilaporkan berkata keputusan parti bertanding pada PRN Johor adalah bagi memberi pilihan kepada pengundi.
PRN Johor menjadi medan pertama buat WARISAN di Semenanjung sejak parti itu dilancarkan di peringkat nasional, tahun lalu.
-Berita Harian