JOHOR BAHRU : Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengadakan mesyuarat khas hujung minggu ini, bagi membincangkan tindakan PKR yang menamatkan rundingan rasmi dan mengambil keputusan tidak memberi sebarang agihan kerusi kepada parti itu, setakat ini.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ia berikutan tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan agihan kerusi kepada MUDA.
Katanya, MUDA telah mengadakan beberapa siri rundingan rasmi bersama pimpinan PKR.
“Namun PKR telah membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama MUDA.
“Meskipun begitu, MUDA telah menyampaikan niat dan hasrat MUDA untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi MUDA-PKR kepada rakan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
MUDA juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama PKR.
“Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan kerusi MUDA-PKR pimpinan MUDA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.
“Sekiranya pertindihan kerusi antara MUDA-PKR tidak dapat dielakkan, MUDA akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MUDA sebelum ini dilaporkan diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, AMANAH dan DAP Johor.
AMANAH dilaporkan memberikan empat kerusi kepada MUDA daripada 20 kerusi miliknya, manakala DAP pula memberikan dua kerusi kepada MUDA daripada 16 kerusi milik parti itu.
Kesepakatan antara tiga parti membawa keputusan muktamad MUDA diperuntukkan enam kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, hanya rundingan rasmi bersama DAP dan AMANAH, telah berjaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi, setakat ini.
Katanya, MUDA menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepadaJohor dan Malaysia.
“Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor.
“MUDA telah memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang kerana fokus utama MUDA adalah membawa perubahan yang baik kepada Johor,” katanya.
-Berita Harian