Sangat menghairankan semakin deras pimpinan tertinggi PAS menyerang UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencela UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti ‘itik patah kaki’ yang sudah tidak lagi relevan.
Beliau seterusnya sanggup menuduh UMNO sebagai parti asabiyyah kerana didakwa menolak perpaduan Islam yang konon dibawa PAS.
Kemudian Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin menghina pemimpin UMNO yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai memalukan Malaysia.
Sedangkan majoriti rakyat Malaysia sudah tahu dengan terang lagi bersuluh tentang kisah pendakwaan-pendakwaan politik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14.
Semasa Pempinan PAS khusyuk mencaci UMNO tanpa peduli lagi aspek fitnah dan adu domba, para pimpinan UMNO pula kelihatan ‘steady’ sahaja.
Menghairankan pimpinan PAS yang selalunya melaungkan PH sebagai musuh Islam, tetapi kini fokus untuk memburukkan UMNO dan BN.
Sedang menggunakan skrip yang lama dan sama digunakan oleh DAP, Bersatu, PKR, PAN, Warisan, MUDA selaku parti politik origin PH.
Beberapa kemungkinan pimpinan tertinggi PAS ghairah menghentam UMNO dan BN berbanding PH sejak bersama Perikatan Nasional (PN).
Kemungkinan pertama inilah hasil tarbiah diperoleh pimpinan tertinggi PAS sejak kerap bersama pemimpin Bersatu makan dan minum di hotel-hotel mewah lima bintang.
Hasil tarbiah membenci UMNO oleh Bersatu menyebabkan parti itu sedang dipergunakan rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) itu.
Bersatu mengerti parti itu sendiri sudah tidak dipercayai rakyat jika melemparkan tohmahan terhadap UMNO dan BN, maka PAS dijadikan sandaran.
PAS tidak boleh menyerang PH walaupun itulah yang patut dibimbangi PAS kerana DAP, PKR, PAN, MUDA adalah bekas rakan baik Bersatu.
Kemungkinan kedua kerana kedudukan pimpinan PAS dalam parti itu sedang goyah disebabkan majoriti akar umbi PAS menolak Bersatu.
Justeru, memburukkan UMNO dan BN sebagai mesej tersirat dan peringatan kepada ahli PAS supaya membenci UMNO/BN dan menyokong PN.
Pimpinan tertinggi PAS khuatir akar umbi parti itu terus berpegang kepada kemuafakatan Muafakat Nasional seperti disaksikan dalam PRN Melaka.
Jika berulang di Johor, maka jawatan dikuasai mereka dalam PAS sudah tidak selamat dan boleh dicabar pemimpin PAS pro-Muafakat Nasional.
Kedua-dua kemungkinan itu jika benar adalah sangat buruk bagi pimpinan sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Inilah yang sebenar-benarnya sangat memalukan.
Memalukan umat Islam negara ini khususnya ahli parti tersebut. Cuma ada satu jalan untuk ahli PAS memperbetulkan keadaan ini sebelum PRU-15 diadakan.
Memastikan UMNO dan BN menang besar dalam PRN Johor bagi membolehkan pimpinan PAS pro-Muafakat Nasional mengambil alih pimpinan parti.
-Mynewshub

