Sunday, April 28, 2024

Creating liberating content

4 Bulan Kerajaan Selangor...

NILAI — Kerajaan Selangor diberi masa empat bulan sehingga Julai depan untuk bersetuju...

Klip Video: Polis Sedang...

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan penyanyi rap Namewee susulan...

Madonna Disenarai Hitam Stesen...

NAMPAKNYA penyanyi terkenal Madonna, 56, terpaksa menerima hakikat yang pahit apabila sebuah stesen radio...

RAM Ratings Unjur KDNK...

KUALA LUMPUR - RAM Ratings mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada...

Bersatu Tidak Khianat Dalam PRN Sabah

Kuala Lumpur : Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melakukan pengkhianatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hingga menjadi punca Muafakat Nasional (MN) gagal adalah tidak benar.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan Datuk Seri Najib Razak bahawa Bersatu meletakkan calon menentang Umno dalam PRN Sabah berikutan tiada satu pun kerusi yang mana calon Bersatu melawan Umno dalam PRN Sabah.

Katanya, isu timbul apabila jawatankuasa pembahagian kerusi antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) gagal mencapai persetujuan apabila BN menambah jumlah kerusi yang ditandingi menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa kawasan.

“Di pihak PN, kerusi terbabit adalah kerusi-kerusi yang ditandingi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bukan Bersatu. Di beberapa tempat berlaku pertembungan antara BN dan PBS.

“PBS juga meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh STAR menyebabkan berlaku pertembungan antara PBS dan PN.

“Melihat keadaan ini, saya pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir bagi mengelakkan pertembungan sesama parti PN, BN dan PBS. Saya mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil parti PN, BN dan PBS,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi ditandingi oleh parti rakan yang lain.

“Pada saat ini, Bersatu adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh rakan dalam PN, BN dan PBS.

“Pas pula mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi.

“Jadi saya tidak faham dengan tuduhan Datuk Seri Najib bahawa Bersatu mengkhianati Umno dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang Umno dan itu menjadi punca MN gagal,” katanya.

Mengenai calon Ketua Menteri Sabah, katanya beliau meminta Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamakan calon Ketua Menteri (KM) Sabah daripada Umno namun beliau tidak menamakan sesiapa sehingga kempen PRN Sabah berakhir.


“Kerana itu saya menamakan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai calon KM Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi. Ini menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS,” katanya.

Menurutnya, PN mencalonkan Hajiji sebagai KM Sabah dan pencalonan ini dipersetujui oleh ADUN GRS termasuk Umno.

“Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu Umno supaya menamakan calon. Sekiranya Umno tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan Umno.

“Datuk Seri Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab MN gagal.

“Saya sudah lupakan MN. Tak perlu diungkit-ungkit lagi. Bersatu sudah buat keputusan untuk tidak menyertai MN. Umno pun buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi apa lagi yang hendak diungkit?

“Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan Umno. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin Umno,” katanya.

Ahad lalu, Najib dalam hantaran Facebook mendakwa, Bersatu menerusi PN meletak calon untuk melawan BN di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah serta PN meletakkan calon Bebas di enam kerusi DUN yang ditandingi BN pada PRN Sabah untuk memecahkan undi.

Dakwa Najib, BN mengorbankan banyak kerusi kepada Bersatu sebagai sebahagian rundingan untuk jawatan Ketua Menteri jika BN menang, namun sebaliknya berlaku apabila calon Bersatu mendapat jawatan itu.

-Harian Metro

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori